Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza memuat naik satu posting teguran di Facebook berhubung sikap segelintir golongan asnaf yang seolah-olah tidak mahu berubah menjadi lebih rajin. Rata-ratanya menjadikan alasan miskin untuk keluar dari kepompong kemalasan.
Antara miskin dan malas
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan.
Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
Menurut Dr Maza, beliau sering meluahkan ucapan dan kuliah mengenai salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Namun begitu, ada juga golongan miskin yang rajin berusaha, cuma peluang belum muncul. Tambahnya, golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak dibicarakan.
Beliau berharap jangan ada yang tersalah sangka. Terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
Selesa dengan kemiskinan
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.
Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor.
Tambahnya, segelintir daripada mereka sanggup membiarkan lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong. Lebih sedih, mereka sanggup membiarkan sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Jika dilihat, mereka pula hanya duduk bersandar dan menunggu bantuan sedangkan tubuh badan mereka masih sihat.
Malas untuk akhirat juga
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk.
Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan. Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
Di akhir luahan tersebut, Dr Maza memberitahu bahawa dia terpaksa meluahkan coretan itu demi kepentingan semua. Sebagai masyarakat muslim, beliau memberitahu ramai yang berharta dan suka membantu. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi membantu, beliau bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas.
Sumber: Dr Maza