Industri hiburan tempatan dikejutkan dengan satu fenomena luar biasa apabila beberapa artis ternama secara serentak menukar gambar profil mereka di media sosial.
Projek mega?
Tindakan ini bukan sahaja mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat tetapi sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai maksud di sebaliknya.
Antara selebriti yang telah menukar foto profil akaun media sosial mereka adalah Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Syazwan Zukifly, Irfan Zaini, Andy Teh, Tracie Sinidol, dan Mikael Noah.
Lebih menarik, dua syarikat produksi gergasi, Primeworks Studios dan SKOP Productions, turut melakukan perkara yang sama. Perkara ini secara tidak langsung menguatkan lagi teori bahawa ada projek mega yang bakal disajikan kepada rakyat Malaysia.
Pengarah terkenal iaitu Abhilash Chandra juga tidak ketinggalan bersama-sama menukar foto profilnya dan sekaligus menguatkan lagi elemen misteri kepada perubahan ini.
Cetus tanda tanya
Tindakan barisan penggiat seni ini telah mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan netizen yang berteka-teki adakah ianya sekadar gimik pemasaran atau petanda kepada kemunculan sebuah filem aksi epik yang bakal mencipta sejarah dalam industri perfileman Malaysia? Atau mungkinkah ia menandakan satu kolaborasi luar biasa yang bakal mengubah landskap hiburan tanah air?
Sehingga kini, masih tiada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak yang terlibat. Namun, satu perkara yang pasti, sesuatu yang menarik sedang menanti!
Untuk mengetahui perkembangan lanjut, pastikan anda mengikuti media sosial rasmi SKOP Productions (@skopofficial__) dan Primeworks Studios (@primeworksstudios.film) agar tidak terlepas sebarang pengumuman penting.