Pada Sabtu lalu kita dikejutkan dengan kematian enam sekeluarga yang terlibat dengan kemalangan ketika dalam perjalanan ke Segamat di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan.
Mangsa yang terlibat ialah Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, bersama empat lagi anaknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Artikel Berkaitan: ‘Segala Persiapan Tunang Dah Dibuat’ – Lelaki Maut Kereta Dipandu Terbabas Langgar Pokok
Anak terima tajaan umrah
Terbaharu, anak sulung kepada Allahyarham Amir dan Norahimah, Abdur Rahman Amir Ruddin, 19 bakal menerima tajaan menunaikan umrah oleh syarikat umrah dan haji, Jay Ibrahim Travel & Tours Sdh Bhd.
Menurut pengasas syarikat umrah dan haji tersebut, Jay Ibrahim memaklumkan bahawa niatnya membantu Abdur Rahman adalah untuk memberikan ruang kepada pemuda tersebut untuk berdoa di hadapan Kaabah.
Niat saya memang nak taja adik Abdul Rahman menunaikan umrah supaya dia boleh berdoa depan Kaabah, Makkah dan Raudhah di Madinah supaya adiknya yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat segera sembuh.
Alhamdulillah, hasil bantuan rakan-rakan di Facebook, saya dapat berhubung dan berjumpa Abdur Rahman hari ini (Ahad). Saya menyatakan hasrat untuk menajanya menunaikan umrah dan dia terima. Cuma, dia mahu adiknya yang kini masih di ICU dapat pergi bersama.
Saya cakap, kalau adik dia diizinkan hidup, saya memang akan bawa juga. Tapi, saya pelawa untuk pergi awal supaya dia dapat mendoakan kesihatan adiknya di sana. Seperti yang kita tahu, depan Kaabah antara tempat mustajab berdoa.
Selain daripada menerima Pakej Umrah Premium Menara Jam Makkah, Abdur Rahman juga akan menerima beberapa sumbangan berupa wang tunai, kain ihram, sejadah dan sebotol air Zam Zam 5 liter.
Bukan itu sahaja, Jay mendedahkan dia akan menguruskan segala dokumen yang berkaitan untuk membantu memudahkan Abdur Rahman berangkat ke Makkah.
Dia beritahu tak ada passport, tapi saya cakap akan bantu uruskan semuanya. Bila-bila saja dia nak pergi pun boleh. Kebetulan saya memang duduk di sana. Kalau dia nak pergi minggu depan, kakitangan saya akan bantu.
Insya-Allah, di sana Abdur Rahman boleh merawat jiwa di depan Kaabah. Semoga dia diberi kekuatan.
Niat saya ini lebih pada tanggungjawab sebagi orang Islam untuk membantu mereka yang susah. Saya bersimpati atas apa yang berlaku.
Doakan usaha kecil kami ini dipermudahkan dan dapat memberi manfaat kepada adik Abdul Rahman dan keluarga serta mendapat keberkatan Allah.
Terdahulu, ibu bapa serta empat lagi adik kepada Abdur Rahman disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, ketika mereka dalam perjalanan untuk menghantar ibunya di Segamat.
Difahamkan, ibunya merupakan guru Sekolah Agama Semedak manakala bapanya merupakan seorang imam di Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang.
Jenazah enam beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah, Parit Limbong pada petang Sabtu.
Berita kemalangan
Sumber: Harian Metro