Didakwa ibarat menangguk di air keruh, pelakon Muaz Zabir menepis dakwaan dia menumpang populariti aktres dan penyanyi, Bella Astillah.
Artikel Berkaitan: ‘Kami Tak Pernah Rancang Pakai Warna Baju Yang Sama, Ia Hanya Satu Kebetulan’ – Muaz Zabir
Artikel Berkaitan: Muaz Zabir Masih Berahsia Siapakah Pemilik Tangan – ‘Kalau Bella Sekali Pun, Dia Sekarang Bukan Isteri Orang’
Tak menumpang
Muaz atau nama lengkapnya Muaz Mohamad Zabir, 26, berkata, dia mempunyai karya dan bakat untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa menumpang nama mana-mana individu.
Saya ada pengurusan dan platform sendiri. Tiada istilah menumpang populariti. Saya pun tidak pernah hubungi Bella untuk minta ‘job’. Orang yang bercakap mengenai kontroversi antara kami. Bukan saya yang minta.
Muaz berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbaharu Bella berjudul Tapi Bukan Denganmu yang diadakan di Aurum Theatre, TRX, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Muaz turut menafikan segala dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan Bella termasuk desas desus mengatakan mereka mempunyai hubungan istimewa.
Saya masih fokus pada diri saya dan mahu bantu (keluarga). Saya masih single. Saya dan dia (Bella) berkawan dan kami bukanlah berkawan secara serius yang memerlukan saya meminta izin emak saya untuk berkawan.
Cuma emak saya ada pesan untuk jaga batas, insya-Allah. Emak saya pun pernah berjumpa Bella di Karnival Jom Heboh di mana kami hadir untuk mempromosikan drama. Saya tiada hati nak kena jaga, cuma hati emak saya di kampung saja yang saya kena jaga.
Serasi bersama?
Muaz yang turut berlakon dalam muzik video lagu Tapi Bukan Denganmu bagaimanapun tidak mengambil hati jika ada peminat yang merasakan dia dan Bella serasi bersama.
Saya sudah bekerjasama dengan ramai artis lain, tetapi tetap yang ini juga orang nampak. Kalau orang mahu kaitkan saya dengan Bella apa salahnya jika itu tidak memberi impak negatif.
Apa yang dilakonkan dalam muzik video itu adalah watak yang diberikan pada saya, saya tidak tahu apa kaitannya dengan saya.
Saya teruja diberi tawaran terbabit dalam muzik video ini sebab pengalaman baru berlakon tanpa dialog. Ini peluang baik dan saya harus cuba.
Kongsi Muaz lagi, masih terlalu awal untuk bercakap fasal jodoh kerana soal perkahwinan bukan satu perkara yang mudah.
Kita semua tidak tahu siapa jodoh yang sudah tertulis untuk kita. Untuk saya, saya percaya sekiranya itu yang tertulis untuk saya itulah yang terbaik.
Siapa ‘partner’ awak tak penting tapi cara awak dan ‘partner’ awak berkomunikasi.
Perkahwinan adalah benda yang berat. Susah, saya tak mahu cakap lebih-lebih sebab saya pun tak pernah kahwin tapi kita doakanlah yang terbaik.