Anggota bomba yang menjadi mangsa rusuhan kuil, Muhammad Adib sebelum ini dilaporkan sudah menunjukkan respon positif dari semasa ke semasa. Menerusi sebuah kenyataan hari ini, jantung Muhammad Adib dimaklumkan berfungsi dengan baik tanpa sokongan sebarang mesin.
Artikel berkaitan : Muhammad Adib Kurang Bergantung Ubat, Tunjuk Respon Positif, Tapi Kekal Kritikal
Ketika membuat lawatan hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yakin majlis pernikahan Muhammad Adib yang dirancang hujung bulan ini dapat dilansungkan.
Perkembangan positif semasa ke semasa
Berikutan respon positif yang ditunjukkan, Zuraida percaya Muhammad Adib akan kembali seperti dulu selepas melalui proses perubatan berterusan daripada pakar dijalankan.
Saya lihat keluarga Adib lebih ceria, nampak ibu bapanya berlainan dan gembira.
Ketika Adib dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) minggu lalu, mukanya bengkak, saya ingatkan Adib bertubuh gempal.
Hari ini, saya dapat lihat diri sebenar Adib, dia kurus orangnya.
Dia tidak boleh bercakap kerana ada tiub dalam mulutnya, dia boleh bergerak, doktor pun nasihat jangan terlalu kaku.
Walaubagaimanapun Ketua Pegawai Klinikal IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim memberitahu Muhammad Adib buat masa ini akan terus ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN sehingga sembuh sepenuhnya.
Proses pemulihan mengambil masa, kita harus bersabar, kita puas hati dengan perkembangan positif Adib dari semasa ke semasa.
Adib akan terus kekal di ICU, kita harap perkembangan yang lebih ketara dalam masa dua hingga tiga minggu ini.
Paru-paru kiri mangsa menunjukkan tanda pemulihan awal.
Dia tidak memerlukan begitu banyak bantuan oksigen dan alat ventilator sejak malam tadi.
Muhammad Adib kini sedang menjalani rehabilitasi paru-paru.
Dia didedahkan dengan senaman anggota badan bersama pegawai fisioterapi IJN
Menerusi kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat IJN yang dikeluarkan hari ini, Muhammad Adib masih perlu menjalani rawatan dialisis di bahagian pinggang walaupun organ itu sudah bertambah baik.
Sumber : Harian Metro