Kini berhijab, penampilan terbaru pelakon, pelawak dan penyampai radio, Sharifah Shahira mendapat perhatian ramai. Di Instagram, dapat dilihat Sharifah Shahira atau lebih mesra dipanggil Shiera memakai tudung di beberapa keping gambar terbaru yang dimuat naik.
Menerusi Harian Metro, Shiera berkongsi sudah berhijab sejak dari hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu pada 18 Mac lalu.
Sebelum ini on off
Kata Shiera, sebelum ini dia memang ada bertudung secara ‘on-off’ tetapi baru-baru ini dia nekad untuk memakainya dengan betul. Malah, keinginannya untuk bertudung semakin kuat apabila menyedari wabak penyakit Covid-19 yang melanda dunia sekarang ini adalah dugaan daripada Allah SWT.
Ditambah pula apabila PKP dilaksanakan. Pada mulanya saya bernazar, jika wabak ini ada penawar saya nak pakai tudung. Terlalu banyak dugaan Allah berikan sekarang.
Tapi, saya fikir semula kalau tak ada penawar, takkan saya tak pakai tudung. Jadi, saya bulatkan hati dan berniat untuk terus pakai.
Lagipun, sebelum PKP saya memang pakai ‘on-off’ dan suka-suka saja. Sekarang, saya sudah pakai dengan betul. Tapi, saya tidak boleh terus menjadi sempurna. Saya masih dalam proses belajar dan memperbaiki diri.
Mendapat sokongan daripada suami dan anak-anak, Shiera berkata akan cuba untuk menjadi lebih lemah lembut selepas ini.
Suami lupa dah bertudung
Suami tak cakap apa. Dia sentiasa menyokong saya. Walaupun ada ketika dia terlupa saya sudah bertudung. Macam anak perempuan pun, dia siap cakap nak pakai tudung juga.
Begitu juga rakan-rakan yang sangat menyokong. Malah, ada siap bagi tudung. Azah pun siap tanya adakah betul saya sudah bertudung. Insya-Allah, saya tetap berkawan dengan semua orang.
Saya masih Shiera yang sama dan saya tetap menjadi diri sendiri. Cuma, saya cuba untuk menjadi lebih lemah lembut. Kalau menjerit saya cepat-cepat beristighfar.
Malah, rakan-rakan ramai yang menyokong sehingga ada yang memberikan tudung.
Sumber : Harian Metro