Gabriel Fernandez seorang kanak-kanak lelaki yang dilahirkan pada 20 Februari 2005 disahkan maut ketika dia berusia 8 tahun selepas dibunuh kejam oleh ibu kandung dan teman lelakinya. Kejadian itu dipercayai berlaku di rumah mereka yang terletak di Palmdale, California Amerika Syarikat.
Gabriel adalah seorang anak yang sangat baik, suka menolong dan sangat menyenangkan tetapi siapa sangka pengakhiran hidupnya menyedihkan. Kisah tragis ini telah menggemparkan dunia sekitar tahun 2013 yang lalu.
Gabriel kembali ke pangkuan ibu kandung
Menurut sumber, selepas 7 tahun dijaga serta dibesarkan oleh bapa saudara, datuk dan nenek, Gabriel akhirnya kembali ke pangkuan ibu kandungnya, Pearl Fernandez pada bulan Oktober 2012 bersama dua orang adik-beradik yang lain, Ezequiel dan Virginia.
Difahamkan, Pearl mengambil kesempatan setelah menyedari Gabriel mampu memperoleh wang dan faedah kebajikan. Sejak itu, segala-galanya berubah.
Kehidupan Gabriel yang sangat ceria ketika bersama nenek dan datuknya bertukar menjadi satu mimpi ngeri selepas tinggal bersama Pearl.
Mangsa alami kecederaan dan maut
Gabriel telah didera dengan teruk oleh Pearl dan kekasihnya yang dikenali dengan nama Isauro Aguirre. Lebih menyedihkan apabila Pearl tergamak mendera anak kecil itu selama 8 bulan hingga ke akhir hayatnya. Dia turut digelar sebagai ‘gay’ dan sering dihukum kerana sifatnya yang tercenderung ke arah feminin seperti bermain dengan anak patung. Sepanjang tempoh 8 bulan itu, Gabriel telah dipukul berkali-kali dengan teruk malah tubuh badannya turut ditembak menggunakan BB gun.
Bukan itu sahaja, dia dikurung di dalam almari kecil di mana tangannya digari selain mulutnya ditutup dengan pelekat atau ‘gam’. Anak kecil itu tidak diberi makan yang cukup serta dipaksa oleh ibu kandungnya untuk memakan najis kucing. Sehingga pada suatu hari guru di sekolah Gabriel merasa ada sesuatu yang tidak kena lebih-lebih lagi selepas anak muridnya itu mengajukan beberapa soalan ‘pelik’ kepadanya. Gabriel menanyakan adakah normal seorang ibu memukul anak kandungnya menggunakan tali pinggang dan memukul hingga berdarah.
Guru terbabit terus terdiam dan mengesyaki pasti ada sebab Gabriel bertanya soalan begitu selain melihat kesan luka dan lebam di badannya, luka di bibir akibat pukulan, lebam di kulit kepala, giginya patah dan rambutnya turut tercabut. Pihak sekolah kemudian melaporkan perkara berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Kanak-kanak dan Keluarga (DCFS) LA County. Pegawai sosial, Stefanie Rodriguez ditugaskan untuk menguruskan kes Gabriel. Dia walau bagaimanapun gagal mengeluarkan Gabriel daripada persekitaran yang kurang selamat itu.
Pelaku dijatuhi hukuman
Pada 22 Mei 2013, Pearl telah menghubungi panggilan kecemasan 911 kerana nafas Gabriel sudah terhenti pada ketika itu. Pasukan paramedik bergegas ke lokasi kejadian dan hasil daripada pemeriksaan mendapati tulang rusuk Gabriel telah patah, kulitnya terbakar, tengkorak retak selain pelet BB tertanam pada paru-paru dan pangkal pahanya. Dua hari selepas itu iaitu pada 24 Mei 2013, Gabriel meninggal dunia di Children’s Hospital Los Angeles.
Pada 28 Mei 2013, Pearl dan teman lelakinya telah ditahan berikutan dengan penderaan yang dilakukan mereka sehingga anak kecil itu maut. Selain mereka berdua, empat orang lagi pekerja sosial telah ditempatkan di meja sementara menunggu kemungkinan bakal dikenakan tindakan disiplin. Suruhanjaya warganegara kemudian mula menjalankan siasatan terhadap DCFS dan empat orang pekerja sosial yang terlibat dalam kes Gabriel telah dipecat.
Pendakwa raya telah menuntut hukuman mati terhadap Pearl dan Aguirre atas pertuduhan menyeksa dan membunuh Gabriel tetapi pasangan ini mengaku tidak bersalah. Namun pada 15 November 2017, Aguirre disabitkan dengan kesalahan membunuh peringkat pertama dan dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2018 di penjara negeri San Quentin. Pada 24 Februari 2018, Pearl pula mengaku bersalah atas pembunuhan peringkat pertama dan kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara wanita negeri Chowchilla. Pada Januari 2020, tuduhan terhadap pekerja sosial itu kemudian dijatuhkan oleh panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan ke-2 di Los Angeles.
Kisah menjadi dokumentari di Netflix
Kronologi kes Gabriel Fernandez ini telah diceritakan kembali dengan penuh terperinci dalam dokumentari ‘The trial of Gabriel Fernandez’ yang ditayangkan di Netflix.
Sumber: The Sun, Radio Times, The Irish Sun