berita

Murid Diarah Belajar Di Kaki Lima Pasar Sebab Belum Vaksin

March 25th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Satu gambar menunjukkan dua murid sekolah rendah belajar di kaki lima sebuah pasar di Indonesia menjadi tular dalam media sosial dan mencetuskan persoalan pelbagai pihak.

Protokol kesihatan daerah sangat ketat

Foto: Tribunnews

Hal tersebut menjadi bualan kerana kanak-kanak itu mengenakan pakaian seragam sekolah, namun tidak berada di dalam kawasan sekolah. Menurut laporan, dua murid itu tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah kerana mereka belum mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menurut penduduk Luwu, protokol kesihatan di daerah itu sangat ketat. Disebabkan itu, pengurusan sekolah mengarahkan mereka belajar di tempat lain.

Kedua-dua murid itu merupakan pelajar di sekolah rendah di Luwu, Sulawesi Selatan. Menurut ibu kepada seorang daripada murid tersebut, Gusnawati, sebelum ini anak mereka diarahkan belajar di luar kelas, namun kali ini mereka dihalau terus dari sekolah.

Kami sedih melihat anak kami dilayan seperti ini. Di tempat lain, murid tetap dibenarkan masuk ke kelas, tidak kira sudah terima vaksin atau belum.

Tambahnya lagi, kedua-dua murid itu belajar di kaki lima pasar kerana peraturan di sana tidak ketat seperti pejabat kerajaan, sekolah dan pusat kesihatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan Luwu, Hasbullah mengesahkan dua murid itu tidak dibenarkan masuk ke kelas kerana belum mengambil vaksin Covid-19. Jelas beliau, peraturan itu termaktub dalam Surat Edaran Protokol Kesihatan Daerah Luwu.

Dalam surat tersebut, sudah dimaklumkan pelajar yang belum vaksin tidak akan dibenarkan menghadiri kelas tatap muka, mereka perlu belajar secara dalam talian di rumah.

Mereka hanya boleh datang ke sekolah untuk mengambil buku atau kerja sekolah yang diberikan guru.

Sumber: Tribunnews

SKIP THIS AD ×