Lapan penduduk Kuala Lumpur diketuai bekas Pengerusi Badan Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan telah mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membekalkan informasi tentang pelan mitigasi banjir untuk musim monsun akan datang, atau mereka bakal berdepan tuntutan mahkamah.
Perlu kemuka dalam masa 5 hari
Menurut laporan Malay Mail, dalam satu surat tuntutan bertarikh 19 September, Ambiga dan 7 orang penduduk lain menamakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah sebagai responden tuntutan tersebut.
Surat tersebut yang dihantar firma guaman Messrs Lim Wei Jie menuntut informasi berkaitan dengan pelan mitigasi banjir untuk dikemukakan dalam tempoh 5 hari.
Selain Ambiga, penduduk lain yang tertera dalam surat tuntutan tersebut ialah Kiu Jia Yaw, Muhammad Taufiq Mohd Razak, Farah Syahidah Shamsuddin, Safiya Spahic, P. Geethananthini, Shah Fariq Aizal Sha Ghazni dan Nur Aneesa Mohammad Nizam.
8 penduduk Kuala Lumpur itu berkata bahawa informasi tersebut adalah penting untuk mereka dan orang awam menentukan sekiranya DBKL mempunyai pelan yang memadai untuk memitigasi banjir yang dijangka bakal berlaku pada musim monsun akan datang.
Ketelusan informasi seperti ini adalah penting untuk kesedaran orang awam dan ianya boleh membuka ruang campur tangan orang awam, ianya satu perkara yang bagus bagi membuat polisi awam.
Ini juga penting kerana isu banjir ini telah membabitkan kemusnahan harta benda, selain mengancam nyawa dan kehidupan seharian penduduk KL, sejak dulu lagi.
Setiap orang mempunyai hak kepada alam sekitar yang bersih, sihat, dan selamat.
Sebelum ini, DBKL pernah memperkenalkan 22 langkah dalam membendung banjir di kota raya Kuala Lumpur, dan surat tersebut turut menuntut informasi tentang berapa daripada 22 langkah tersebut yang sudah terlaksana.
Sumber: Malay Mail