Pelakon dan penyanyi, Nabila Razali enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan sudah bertunang dengan seorang ahli perniagaan, Nik Iruwan, baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Nabila Razali Sudah Bertunang Dengan Bekas Pelumba Litar Formula?
‘Saya harap semua pihak hormati privasi saya’
Ketika ditemui OhBulan!, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali berharap semua pihak dapat memberi ruang dan menghormati privasi dirinya. Ujar penyanyi berusia 30 tahun ini, dia belum bersedia untuk memberi sebarang komen namun akan mengeluarkan kenyataan rasmi bila sudah bersedia.
Buat masa sekarang ni, saya tidak mahu untuk buat apa-apa kenyataan dan cuma saya harap semua pihak menghormati privasi saya.
Kerjaya saya, belum pernah lagi saya tak berkongsi. Segalanya saya berkongsi di media sosial saya tapi untuk sesetengah benda, saya ambil langkah untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi. Sekiranya saya sudah bersedia, saya akan umumkan kepada semua.
Apabila ditanya mengenai cincin yang tersarung di jarinya, pelantun lagu Pematah Hati ini memberitahu itu hanyalah sekadar aksesori yang digayakan dan ianya tidak perlu dipersoalkan.
Sebelum ini, Nabila didakwa mengikat tali pertunangan dengan ahli perniagaan, Nik Iruwan di kediamannya yang terletak di Selayang, Selangor. Majlis itu dikatakan diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat kedua belah pihak.
Namun sehingga kini, Nabila mengunci mulut dan enggan memberi kenyataan berhubung perkara terbabit.