Pelakon, Nadhir Nasar menganggap tidak menjadi isu sekiranya seorang artis mengambil langkah proaktif dengan menghubungi atau menyatakan hasrat kepada pihak produksi demi mendapatkan tawaran lakonan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nadhir Nasar Tak Malu Pakai Hadiah Daripada Peminat

Tak salah melobi

Nadhir atau nama penuhnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 29, berkata, kejayaan dalam dunia seni tidak datang tanpa usaha, sebaliknya menuntut kesungguhan dan kerja keras berterusan.

Pada pendapat saya peluang itu ada di mana-mana, rezeki ada kala tidak datang sendiri tetapi perlu juga dicari.

Sebagai pelakon, salah satu cara mencari rezeki adalah dengan menghadiri sesi ujibakat. Itu juga antara peluang mendapatkan pekerjaan.

Nadhir berkongsi perkara itu ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Magik Rompak yang diadakan di GSC, IOI City Mall, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Juara Hero Remaja 2020 itu percaya setiap individu termasuk anak seni mempunyai kepayahan masing-masing selain percaya kejayaan akan hadir pada waktu yang tepat.

Setiap orang ada kepayahan masing-masing untuk berjuang dalam hidup. Allah akan beri apa yang kita minta pada waktu yang tepat.

Rezeki tidak pernah salah alamat, sentiasa percaya dengan rezeki Allah. Yakinlah dengan apa yang kalian mahu lakukan. Teruskan bekerja keras, pulun sehabis baik.

Dalam pada itu, disoal adakah pernah ‘melobi’ tawaran lakonan dengan mana-mana pengarah mahupun penerbit, Nadhir ada jawapan sendiri.

Saya bermula dengan Hero Remaja dan tidak banyak menyimpan nombor telefon pengarah. Saya banyak bertanya dengan kawan-kawan, tambahan lagi saya juga bermula dengan produksi.

Saya percaya tiada seorang pun yang boleh berjaya hanya dalam satu malam. Ambil masa dan ‘hardwork’ yang banyak.

Dalam perkembangan lain, Nadhir muncul dengan naskhah baharu Magik Rompak mula menerjah pawagam seluruh Malaysia pada 11 September ini.

Selain Nadhir, karya arahan Adrian Teh itu turut dibintangi Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson, Yasmin Hani, Fabion Loo, Miller Khan dan ramai lagi.