
Pelakon Nadhir Nasar akui belum memiliki keinginan untuk berumah tangga sekali gus meletakkan keluarga sebagai keutamaannya.
Artikel Berkaitan: Nadhir Nasar Nafi ‘Jauh Hati’ Dengan Industri Seni – ‘Saya Bekerja Bukan Fasal Anugerah’
Artikel Berkaitan: Nadhir Nasar Anggap Tak Salah Pelakon ‘Melobi’ Diri Demi Tawaran Kerja – ‘Rezeki Ada Kala Perlu Dicari’
Tinggal dengan keluarga
Ketika ditemui OhBulan!, Nadhir atau nama penuhnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 30, memaklumkan dia masih tinggal bersama keluarga sehingga kini.
Menurut Nadhir, dia jarang diajukan soalan mengenai jodoh daripada orang luar kerana rupa parasnya yang sering dianggap kelihatan seperti remaja.
Sekarang ini memang saya duduk dengan ibu bapa saya. Soalan bila nak kahwin itu sebenarnya tak pernah datang daripada orang luar.
Mungkin sebab saya awet muda atau tak nampak tua lagi.
Nadhir berkata demikian ketika ditemui pada sidang media iklan raya dan majlis berbuka puasa LOL Entertainment yang diadakan di Hotel Royal Chulan, Damansara pada Rabu.
Menjawab mengenai keputusannya untuk terus tinggal bersama keluarga, Nadhir menyifatkan perkara itu sebagai janji yang dibuat kepada diri sendiri sebagai anak bongsu.
Saya rasa itu janji saya kepada diri saya. Saya memang nak duduk bersama mereka.
Kalau soal berapa lama duduk dengan ibu bapa atau sampai kahwin itu saya tak pasti sebab perkara itu sangat peribadi. Saya nak kekalkan macam itu.
Soal jodoh
Berkongsi lebih lanjut, pelakon berusia 30 tahun itu akui pernah diajukan soal jodoh daripada ibunya namun menyerahkan hal tersebut kepada tuhan sepenuhnya.
Mak pernah tanya bila nak kahwin, tapi saya cakap memang belum ada rasa nak kahwin lagi.
Lepas itu mak kata, Alhamdulillah, boleh jaga mak dulu.
Jodoh di tangan Tuhan. Saya sendiri pun tak tahu bila benda itu sampai. Kalau jodoh itu sampai, sampailah.