Selepas empat tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Nadiyah Shahab dan suaminya, usahawan Ben Ali bersedia untuk mempunyai cahaya mata.
Artikel Berkaitan: Nadiyah Shahab Lawan Perasaan Takut Dengan Kucing, ‘Jealous’ Tengok Ben & Fluffy Rapat
Nak anak kembar
Ketika ditemui OhBulan!, Nadiyah, 31, menyatakan sudah tiba masa yang tepat untuk dia melangkah ke satu fasa baharu dalam hidup iaitu bergelar ibu.
Kata pemilik nama Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab, sebelum ini dia terlampau sibuk dengan dunia bisnes dan bidang lakonan selain baharu sahaja tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Singapura.
Ketika awal perkahwinan, kami merasakan hanya bersedia untuk bergelar ibu bapa selepas kerja selesai. Tetapi kami belajar bahawa tidak ada kerja yang akan selesai kerana akan sentiasa ada perancangan baharu.
Memandangkan kami dah buang masa tiga tahun, jadi saya harap dikurniakan anak kembar sebab keluarga saya ada banyak sejarah anak kembar.
Terdahulu, pasangan sama cantik sama padan ini berkahwin pada 10 November 2018 di The Ballroom at East Coast, Singapura.
Nak jaga sendiri
Dalam pada itu, pelakon drama Lafazkan Kalimah Cintamu berkata sekiranya ada rezeki anak, dia ingin menjadi suri rumah dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyeri rumah tangganya dengan Ben.
Katanya lagi, dia ingin menikmati setiap momen melihat perkembangan anak dan bukannya dilepaskan sepenuhnya kepada pembantu rumah.
Sejak beberapa tahun lepas saya sudah puas bekerja, belajar. Jadi saya beritahu Ben, bila sudah ada anak saya mahu beri tumpuan kepada anak.
Saya nak menikmati perjalanan sebagai ibu dan merasa pengalaman membesarkan anak sendiri. Saya tak mahu mengandung, kemudian melahirkan dan tinggalkan anak begitu sahaja dengan pembantu untuk dijaga.
Nadiyah berkata demikian pada sidang pengumuman Absolute Bazaar & Gaya Raya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Isnin.
Nak tolong peniaga tempatan
Bercerita mengenai kerjasama antara Syarikat Absolut Event & Management Sdn Bhd dan My Events International Sdn Bhd, festival raya terbesar yang akan berlangsung selama 66 jam ini pada 22, 23, 24 & 25 April adalah untuk menghidupkan semula kemeriahan riang raya yang sudah dua tahun disambut dengan suram.
Pada masa yang sama, ianya diharap dapat menghidupkan semula sektor ekonomi para peniaga tempatan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 yang melanda.
Selain itu, keterlibatan artis terkemuka pada festival ini juga bakal memeriahkan lagi suasana antaranya adalah Datuk Siti Nurhaliza, Fatah Amin, Nelydia Senrose, Uqasha Senrose, Raysha Rizrose, Mira Filzah, Aeril Zafrel, Wawa Zainal, Neelofa, Haris Ismail, Emma Maembong, Zizan Razak, Syatilla Melvin, Saharul Ridzuan, Shukri Yahaya, Rozita Che Wan, Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Intan Najuwa, Aedy Ashraf dan ramai lagi.
Sumber: Instagram @nadiyah.shahab