berita

Nak ‘Bolot’ Ilmu Hitam, Dukun Ahmad Suradji Bunuh 42 Wanita, Sedut Air Liur Si Mati

October 13th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seperti yang kita sedia maklum, jika di Malaysia, kisah dukun terkenal iaitu Mona Fendy telah menjadi bualan hangat netizen pada suatu ketika dahulu.

Begitulah juga yang terjadi di negara jiran kita iaitu Indonesia apabila seorang dukun yang dikenali dengan nama Ahmad Suradji telah menggemparkan dunia sekitar tahun 1997 kerana membunuh 42 orang wanita hanya untuk menambahkan kuasa ilmu hitamnya itu. Kejam!

Siapa Ahmad Suradji?

Ahmad Suradji atau nama sebenarnya ialah Sagimin telah dilahirkan pada 10 Januari 1949 di Sumatera Utara, Indonesia. Suradji merupakan anak sulung daripada dua beradik. Menurut sumber, bapanya yang juga merupakan seorang dukun telah meninggal dunia ketika Suradji baru berusia tujuh bulan. Maka tinggal lah dia bersama ibu dan adiknya.

Tetapi sayangnya, kehidupan kanak-kanak Suradji tidak seindah yang disangka. Dia telah menjadi seorang kanak-kanak yang sangat liar dan nakal sehingga pernah terjatuh ke dalam perigi yang sangat dalam. Tetapi Suradji bernasib baik kerana dia terselamat dan oleh itu ibunya memanggil Suradji dengan nama ‘Nasib’. Selain itu, dia yang sering membawa kelewang (satu alat seperti pedang)  ke mana-mana menyebabkan dia turut digelar sebagai ‘Nasib Kelewang’.

Ketika usianya mencecah 27 tahun, Suradji telah menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini seorang wanita bernama Tumini. Hasil daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang anak lelaki. Tetapi apa yang lebih mengejutkan apabila Suradji mengutarakan hasratnya untuk bernikah lagi. Apa yang peliknya dia ingin menikah dengan kedua-dua adik iparnya iaitu Tuminah dan Natiah.

Walaupun hasratnya itu ditentang oleh ibu, Suradji masih berdegil dan meneruskan perkahwinan tersebut. Selepas mendirikan rumah tangga, ketiga-tiga isterinya tinggal dalam satu rumah yang sama. Malah, Suradji telah menghalau ibu kandungnya keluar dari rumah tersebut kerana tidak tahan sering ditegur dan dimarahi.

Mendalami ilmu hitam

Kenakalan Suradji juga menyebabkan dia dimasukkan ke penjara kerana telah mencuri lembu penduduk kampung dan seterusnya dibebaskan. Bukan itu sahaja, Suradji dikatakan mula berjinak-jinak dengan pengamalan ilmu hitam dan dukun ketika usianya 12 tahun lagi. Ketika usianya mencecah 20-an, Suradji semakin serius dalam bidang kedukunan.

Dia mempelajari ilmu tersebut dari buku-buku dan kitab peninggalan bapanya yang terkandung mantera. Selepas satu insiden dimana dia telah ‘menyelamatkan’ kawannya yang sakit, nama Suradji semakin dikenali sebagai seorang dukun yang sangat terkenal seperti bapanya. Oleh itu, Suradji mendapat satu nama gelaran yang lain iaitu Datuk Maringgi.

Namun segala-galanya bermula pada tahun 1986 iaitu ketika usianya 36 tahun, ‘bapa’ Suradji muncul dalam mimpinya dan memberitahu akan memberikan ilmu yang sangat kuat kepadanya. Selain itu, ilmu ini juga berupaya menjatuhkan musuh, melindungi diri sendiri dan yang paling penting mampu menyembuhkan penyakit. Pada keesokan harinya selepas bangun dari tidur, Suradji berasa amat bimbang memikirkan syarat tidak masuk akal yang diberi oleh ‘bapanya’.

Untuk memiliki ilmu tersebut, Suradji perlu membunuh seramai 72 orang wanita dan meminum air liur mangsa. Disebabkan terlalu taksub ingin menguasai ilmu tersebut, Suradji memulakan ‘modus operandinya’ itu. Jadi target utamanya adalah dalam kalangan pelanggannya sendiri iaitu wanita-wanita yang datang untuk meminta menaikkan seri atau untuk kecantikan. Sebelum membunuh mangsa, Suradji masih mengaut keuntungan dengan meminta bayaran dengan perkhidmatan yang diberikannya.

Bunuh dan sedut air liur mangsa

Untuk ‘rawatan’ itu, para wanita perlu bertemu berdua dengan Suradji pada waktu malam. Suradji kemudian membawa mangsanya ke belakang rumahnya yang terdapat kebun tebu. Suradji kemudian menyuruh mangsa membuka pakaian dan berbogel sebelum meminta mangsa masuk ke dalam lubang yang digali hingga paras leher.

Kononnya itu adalah ‘rawatan’ yang digunakan untuk menambahkan kecantikan. Para pesakit yang terlalu taksub itu mempercayai kata-kata Suradji dan menuruti segala arahannya. Namun selepas mereka masuk ke dalam lubang, Suradji bertindak mencekik mangsa menggunakan wayar hingga mati. Untuk melengkapkan ritualnya itu, Suradji kemudian menyedut air liur mangsa-mangsanya.

Suradji tidak melakukan sendirian, sebaliknya dia dibantu oleh isteri pertamanya, Tumini. Si isteri akan membantu menanam mayat-mayat mangsa dan mengumpul pakaian serta harta benda milik mangsa. Kejadian tidak berperikemanusiaan ini berterusan berlaku dari tahun 1886 hinggalah tahun 1997 iaitu hampir 11 tahun. Apabila tiada pelanggan wanita, Suradji akan mencari pelacur untuk dijadikan mangsa.

Modus operandi terbongkar

Perbuatan jahat mereka ini langsung tidak disedari oleh orang ramai sehinggalah pada 27 April 1997 segala-galanya terbongkar. Pada tarikh tersebut, penduduk kampung menemui mayat seorang wanita yang dikenali dengan nama Sri Kemala Dewi di kebun tebu di belakang rumah Suradji. Keadaan mayat Kemala Dewi pada ketika itu sudah mula mereput.

Ibu bapa mangsa menyangka anak mereka itu, Kemala Dewi dibunuh oleh suaminya kerana beberapa hari sebelum kematiannya, mereka suami isteri telah bertengkar. Namun, pihak polis masih menjalankan siastaan lanjut dan mencari bukti untuk mencari siapakah pembunuh sebenar yang terlibat dalam kes tersebut.

Ketika dalam siasatan, seorang individu iaitu penarik beca tampil memberi kenyataan dengan memaklumkan bahawa dia telah menghantar Kemala Dewi ke rumah Suradji. Dari laporan tersebut, pihak polis mula mencurigai Suradji dan mereka telah membuka fail-fail lama mengenai kehilangan wanita di kampung berkenaan. Kebanyakan nama wanita yang hilang itu adalah pelanggan Suradji.

Pihak polis kemudian terus ke rumah Suradji dan bertanyakan beberapa soalan mengenai Kemala Dewi. Suradji mendakwa selepas diberi rawatan, dia telah meminta Kemala Dewi pulang ke rumah sebelum waktu maghrib. Walaupun begitu, pihak polis tidak percaya dengan pengakuan tersebut dan mereka telah menggeledah rumah Suradji. Hasilnya, pihak polis menemui banyak barang-barang bukti termasuklah baju, jam tangan dan barang kemas milik mangsa-mangsanya termasuklah barang Kemala Dewi.

Dijatuhi hukuman

Oleh hal yang demikian, Suradji dan ketiga-tiga isterinya telah ditahan oleh pihak polis. Hasil daripada soal siasat mendapati hanya Suradji dan isteri pertamanya sahaja yang terlibat. Suradji akhirnya mengaku akan perbuatannya itu. Pada awalnya, dia mendakwa hanya membunuh seramai 16 orang wanita sahaja tetapi lama-kelamaan dia mengaku telah mengorbankan seramai 42 orang mangsa.

Pada 27 April 1998, Suradji telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati selepas permohonan rayuannya ditolak. Sementara, Tumini telah dikenakan hukuman penjara seumur hidup. Pada 10 Julai 2008, hukuman mati telah dilakukan oleh pasukan penembak ke atas Suradji ketika dia berusia 59 tahun.

Permintaan terakhir Suradji pada ketika itu adalah ingin bertemu dan bermesraan buat kali terakhir bersama isteri pertamanya, Tumini. Menurut sumber, sepanjang 10 tahun di dalam penjara, Suradji telah banyak berubah dan bertaubat selain mendalami ilmu agama. Bukan itu sahaja, dia juga kerap memberi nasihat berkaitan hal agama kepada banduan-banduan yang lain.

Sumber: Bangkapos.com, Tribun Jabar, Suara.com, Youtube

SKIP THIS AD ×