berita

Nak Luangkan Waktu Weekend Dengan BFF Di Perak? Ini Antara Tempat Menarik Korang Kena Pergi!

January 23rd, 2020 | by Shahira
Travelogue

Ipoh merupakan ibu negeri Perak yang sebenarnya mempunyai banyak khazanah pelancongan yang menarik untuk dilawati. Selain memiliki pelancongan alam semulajadi seperti pantai dan pulau, Ipoh juga terdapat banyak sangat kafe hipster yang boleh korang kunjungi. Bandaraya Ipoh juga sangat sesuai untuk korang yang suka ber’ootd’ sebab seni bina bangunan dekat sini sangat klasik dan menarik tau!

Jom kita tengok beberapa tempat menarik di Ipoh seperti yang dikongsikan seorang gadis, Yaya di laman Twitter miliknya.

Perjalanan 2 jam dari KL

Kellie’s Castle

Istana Kellie atau Kellie’s Castle merupakan ‘istana’ paling terkenal di Malaysia dan terletak di Batu Gajah, Perak. Istana lama ini telah lebih 112 tahun dibina iaitu pada tahun 1905. Seni bina yang unik dan klasik serta kisah msiteri disebalik pembinaan istana ini telah menarik perhatian masyarakat tempatan dan pelancong.

Kedai Kopi Yong Suan

Salah satu destinasi yang wajib korang singgah di Ipoh ialah kedai makan nasi kandar yang sangat popular! Kedai makan ini terletak di dalam Kedai Kopi Yong Suan.

Concubine Lane

Concubine Lane, satu lorong kecil yang penuh keunikan dan sejarahnya tersendiri. Concubine Lane atau Lorong Panglima adalah lorong kecil yang terletak antara Jalan Bijeh Timah dan Jalan Bandar Timah. Sepanjang lorong ini terdapat kedai-kedai makanan hipster dan menjual pelbagai barangan sebagai cenderahati.

Miniature Wonders Art Gallery

Miniature Wonders Art Gallery terletak di Ipoh Old Town. Galeri ini dimiliki dan diuruskan sendiri oleh Phoon Lek Kuin dan isterinya Xu Zhongmei. Galeri ini mempunyai dua tingkat dan di dalam galeri ini terdapat exhibitions patung-patung buatan tangan yang menggambarkan sejarah, cerita rakyat dan legenda China.

Muzium Yasmin

Muzium ini dibina khas untuk memperingati pengarah terkenal, Allahyarham Yasmin Ahmad. Bergelar Yasmin At Kong Heng, muzium itu dibina di atas tapak milik Old Block Sdn Bhd yang mendedikasikan ruang satu tingkat untuk pameran.

Petit Mary Dessert

Salah satu kafe yang sangat menarik di Ipoh khas buat mereka yang gemarkan dessert kerana terdapat pelbagai jenis perisa kek di sana. Susun atur dan design kafe ini sangat menarik dengan padanan warna-warna pastel.

Keretapi Tanah Melayu Ipoh

 

Stesen Keretapi Ipoh merupakan salah satu tumpuan para pelancong di Perak. Stesen Keretapi Ipoh terletak di Bandaraya Ipoh dan menjadi salah satu tumpuan para pelancong dan penduduk tempatan untuk mengambil gambar di kawasan ini. Bukan itu sahaja, KTM Ipoh juga turut dikenali sebagai ‘Taj Mahal’ kerana rupa bentuknya yang seakan-akan Taj Mahal.

Pasar Karat

Kalau datang Ipoh, tak sah kalau tak singgah di Pasar Karat atau lebih popular dengan nama Loken. Di sini, terdapat pelbagai jenis barang-barangan antik yang dijual dan boleh disimpan sebagai kenangan atau diberi untuk cenderahati. Loken juga menjadi salah satu port yang disukai oleh kebanyakan photographer untuk mengambil gambar kesesakan pengunjung yang datang ke situ.

Gunung Lang

Gunung Lang telah dibangunkan sekitar tahun 1999 ke 2003 oleh Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan Tempatan. Gunung ini telah menjadi daya tarikan penduduk di situ sebagai satu kawasan rekreasi untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga.

Gunung Lang juga dikatakan popular sebagai port photoshoot terutamanya buat pasangan pengantin. Pengunjung juga boleh menaiki bot untuk menyeberangi tasik buatan di sini untuk melihat keindahan flora, mini zoo serta Rumah Perak.

Tasik Cermin

Tasik Cermin yang terletak berhampiran dengan Simpang Pulai. Tasik yang dikelilingi dengan batu kapur dan air tasiknya yang hijau dan jernih itu umpama cermin. Dan disebabkan itu lah, tasik ini diberikan nama sebagai Tasik Cermin.

Walaupun tasik mempunyai pemandangan dan persekitaran yang menarik tetapi malangnya Tasik Cermin ini adalah satu kawasan larangan memandangkan ianya adalah tanah hak persendirian. Menurut orang ramai, segala risiko dan kerugian adalah tanggungjawab masing-masing.

Sumber: Yaya

SKIP THIS AD ×