Keadaan cuaca yang panas melanda Malaysia ketika ini sudah semestinya membuatkan tekak anda sentiasa kering dan dahaga. Selain memilih untuk kurangkan aktiviti di luar, minum air yang secukupnya juga mampu mengekalkan seseorang itu untuk kekal sihat ketika musim panas.
Pasti ada antara korang yang gemar minum air kelapa untuk membasahkan tekak di saat cuaca sebegini betul tak? Namun, pernah tak korang dengar ‘petua’ dari rakan-rakan mahupun keluarga yang mengatakan air kelapa tidak boleh diminum bersama ubat-ubatan kerana akan mengurangkan keberkesanan ubat tersebut?
Khasiat air kelapa
Menerusi Facebook, seorang doktor Dr Ezairy M.Sallih, berkongsi info yang berguna tentang air kelapa. Menurut beliau banyak kajian mendapati bahawa cytokinins membantu untuk mengawal selia pertumbuhan sel-sel. Air Kelapa mengandungi cytokinins dan asid laurik yang boleh meminimumkan penuaan sel-sel kulit, mengimbangi tahap PH, dan memastikan ‘connective tissue’ tisu-tisu penyambung kuat dan terhidrat.
Sumber tenaga yang baik
Bukan itu sahaja, air kelapa juga mempunyai vitamin, mineral, dan nutrien lain. Oleh itu, ianya mampu memberikan sumber tenaga yang baik. Air kelapa juga mempunyai kandungan gula dan natrium yang kurang berbanding dengan kebanyakan minuman sukan, sambil mempunyai lebih banyak Potassium, Calcium, dan Chloride, yang menjadikannya pilihan yang lebih baik untuk memulihkan, menambah dan meningkatkan tahap tenaga tubuh selepas aktiviti atau senaman yang berat.
Membantu mengawal cecair dalaman
Sebagai contoh, dalam setiap 100ml air kelapa, terdapat kira-kira 294mg kalium berbanding dengan 117mg dalam purata mana-mana minuman tenaga, 25mg natrium berbanding 200mg dalam minuman tenaga dan 41mg dalam kebanyakan minuman sukan, 5mg gula berbanding 20-25mg, dan 118mg klorida berbanding dengan purata minuman tenaga dan minuman sukan sebanyak 39mg.
Ia juga kaya dengan potassium dan mineral lain. Justeru, air kelapa dapat membantu mengawal cecair dalaman kita dan memulihkan semula badan. Ia telah digunakan untuk merawat dehidrasi yang disebabkan oleh cirit-birit, dan keseimbangan elektrolit.
Minum air kelapa dengan ubat-ubatan?
Kajian klinikal peringkat awal menunjukkan minum air kelapa mungkin boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit hipertensi (darah tinggi). Penggunaan bersama-sama air kelapa dengan ubat anti-herpentensi mungkin boleh menyebabkan kesan tambahan terhadap pengurangan tekanan darah seterusnya boleh memberi risiko tekanan darah menjadi rendah.
Oleh kerana air kelapa mempunyai kandungan garam potasium yang agak ketara maka ia boleh menerukkan lagi keadaan hiperkalemia seseorang individu. Jika diminum dalam satu jumlah yang banyak mungkin boleh meningkatkan risiko hyperkalemia bagi pesakit yang mempunyai kekurangan fungsi buah pinggang.
Air kelapa sekiranya diambil secara minuman dengan jumlah yang biasa adalah selamat. Anda tidak perlu bimbang terhadap faktor keselamatan dalam pengambilan air kelapa. Begitu juga sekiranya air kelapa diambil oleh kanak-kanak.
Sumber: Dr Ezairy M.Sallih