Pemain gitar utama kumpulan Spider iaitu Hanafi Hamdan masih belum sedar selepas selesai jalani pembedahan di Hospital Sungai Buloh (HSB), semalam.
Artikel Berkaitan: Dikejarkan Ke Hospital Kerana Strok, Napie Spider Selamat Jalani Pembedahan
Dos ubat diturunkan
Menurut Tam, pembedahan Napie berjalan lancar dan dia menunjukkan perkembangan yang positif selepas pembedahan itu.
Isteri Napie, Nor Rasidah memaklumkan doktor juga sudah turunkan dos ubat supaya dia boleh sedar dengan cepat. Pembedahan itu membabitkan bahagian otak dan ia mengambil masa untuk sedar selepas ditidurkan.
Saya juga merancang untuk melawatnya petang ini kerana dia masih dalam wad pengasingan di mana hanya seorang yang boleh masuk secara bergilir dalam satu masa.
Tambah Tam, buat masa ini, Napie perlu direhatkan sementara dari mengadakan persembahan bersama Spider sejak tahun lalu.
Kami sudah nampak cara permainan Napie sudah tidak sama, tiga hingga empat tahun lalu. Sedangkan Spider ada ‘demand’ dan perlu menjaga kualiti persembahan.
Ada satu showcase Atas Angin, dua tahun lalu di mana saya nampak muka Napie pucat seperti tidak cukup nafas dan kami terpaksa berhenti rehat sekejap ketika itu.
Berbicara lebih lanjut, Tam memberitahu hubungan dia dengan Napie tetap rapat seperti dulu meskipun sudah ada pemain gitar gantian.
Buat masa ini, kami mahu Napie berehat dari persembahan dan tiada tekanan untuk dia benar-benar pulih dari masalah kesihatannya terlebih dahulu. Hasil perbincangan dengan anggota kumpulan, kami juga memang ada sedikit peruntukan untuknya setiap kali Spider mengadakan persembahan. Napie juga ada pekerjaan lain sebagai jurutera bunyi di Studio Luncai Emas.
Ujar Tam lagi, dia memohon doa daripada peminat untuk sama-sama mendoakan semoga Napie cepat sembuh dan boleh keluar segera dari wad.