Apa agaknya aktiviti anda pada hujung minggu ini ya? Jika masih tiada perancangan, apakata anda luangkan masa bersama keluarga ataupun sahabat handai untuk menonton filem yang pasti tidak mengecewakan, Need For Speed.
Walaupun menampilkan pelakon yang tidaklah mempunyai nama besar di Hollywood, filem arahan Scott Waugh ini dilihat mampu berdiri teguh dengan jalan ceritanya yang menarik dan padat dengan aksi perlumbaan. Tanpa sebarang keraguan, penulis dengan senang hati memberi standing ovation kepada filem ini.
Filem yang mula berada di pawagam sejak 13 Mac ini mengisarkan tentang seorang pelumba berbakat besar, Tobey Marshall (lakonan Aaron Paul) yang menyertai pertandingan lumba haram sebagai sumber utama untuk menampung kos perbelanjaan bengkel keretanya.
Bagaimanapun, dek kerana kesuntukan wang, Tobey terpaksa berkerjasama dengan musuh ketatnya, Dino Brewster (lakonan Dominic Cooper) untuk mengubahsuai sebuah kereta lumba yang kemudiannya berjaya dijual dengan harga lumayan.
Disebabkan sikap iri hati dan egois, Dino yang juga merupakan bekas pelumba NASCAR itu telah menjadikan Tobey sebagai ‘kambing hitam’ dalam satu perlumbaan maut dan menyebabkan Tobey meringkuk di penjara selama 2 tahun.
Selama tempoh itu, dendam kesumat Tobey kepada Dino tidak pernah luput di ingatan, lebih-lebih lagi apabila kemalangan tersebut telah meragut nyawa salah seorang teman karibnya, Pete (lakonan Harrison Gilbertson). Namun, adakah hutang darah tersebut akan dibayar dengan darah juga?
Seperti yang dijangka, filem adaptasi daripada sebuah permainan video yang terjual lebih daripada 140 juta salinan ini padat dengan aksi perlumbaan yang mendebarkan. Kereta terbang, terbabas dan meletup adalah babak wajib tonton dalam filem ini.
Plot penceritaan berjaya disusun dengan kemas dan pengarah juga dilihat bijak bermain dengan emosi para penonton. Tidak ketinggalan, unsur humor yang diletakkan di babak-babak tertentu telah membuatkan filem ini tampak lebih ‘hidup’.
Namun, apa yang paling mengujakan apabila penulis sendiri seakan-akan taksub menonton pelbagai jenis kereta lumba mewah yang dipertaruhkan dalam filem ini. Tidaklah begitu arif tentang model kereta, namun penulis pasti ianya bukanlah kereta yang calang-calang harganya.
Tidak percaya dan tidak puas hati dengan review ini tanpa melihat dengan mata kepala sendiri? Jadi apa yang mahu ditunggu lagi, cepat-cepat buat tempahan tiket wayang kerana pada jangkaan penulis, filem ini pasti akan bikin pecah panggung.
Tapi sebelum itu, jom kita tonton dulu trailer rasmi dan beberapa keping foto babak aksi dalam filem ini. Enjoice!