Sekadar gambar hiasan
Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun ditemui meninggal dunia di dalam bilik air di rumah neneknya di Sungai Pasir, Kedah dipercayai akibat diserang sawan.
Maut dalam bilik air
Memetik laporan Harian Metro, mangsa yang dikenali dengan nama Nur Arisa Qaisara Abdullah tinggal bersama neneknya kerana mudah untuk dijaga berikutan keadaan kesihatan mangsa yang kerap diserang sawan. Sementara ibu mangsa yang bekerja turut tinggal di kampung yang sama.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda iaitu Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, mangsa dikatakan telah pergi ke bilik air untuk membuang air besar sebelum dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kepalanya berada dalam besen yang airnya hanya paras pergelangan tangan.
Ketika kejadian, kanak-kanak itu memberitahu yang dia mahu membuang air besar namun neneknya yang curiga menolak pintu bilik air sebelum mendapati cucunya itu tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mempunyai rekod penyakit sawan sejak beberapa tahun lalu malah mangsa juga perlu mengambil ubat sawan dua hari sekali setiap 12 jam.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah ditemukan.
Sumber: Harian Metro