Baru-baru ini, nama penyanyi dan pelakon Aliff Aziz mencuri perhatian ramai apabila dia didakwa menjadi ‘anak emas’ sebuah stesen televisyen tempatan. Segelintir netizen di Twitter mendakwa Aliff mendapat tugasan lagu-lagu yang mudah sepanjang berentap dalam program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).
Artikel Berkaitan: Bella Astillah Nafi Suami ‘Anak Emas’ GV8, Selalu Dapat Lagu Senang – ‘Kita Ikut Sahaja Adat Pertandingan’
Artikel Berkaitan: Buat Yang Terbaik Pun Ada Yang Tak Suka, Bella Astillah ‘Perli’ Netizen Ke Tu?
Semua orang ada pendapat sendiri
Kalau sebelum ini, isteri kepada Aliff iaitu Bella Astillah yang kelihatan lantang bersuara membalas komen-komen warganet. Kali ini, OhBulan! dapatkan penjelasan daripada empunya badan sendiri.
Ketika ditemui, Aliff, 32, menganggap ini adalah rezeki kepadanya apabila dapat mara ke pentas akhir GV8 dan akuinya dia tidak pernah menjangka akan memperoleh peluang tersebut.
Ini semua rezeki Allah dah tentukan. Orang kata anak emas, ada kata favouritisme tapi semua orang punyai pendapat sendiri dan perlu hormati, sama ada betul atau tidak Allah saja yang tahu.
Tapi bagi saya apa yang Allah dah susun ni kita bersyukur dan saya cuma harap semua orang tenang-tenang saja insya-Allah. Tak perlu gaduh-gaduh, apa yang terjadi Allah dah susun.
Mungkin rezeki saya kali ini, saya pun tak jangka sebenarnya. Ramai yang hebat-hebat Masya-Allah.
Ada cabaran tersendiri
Ketika ditanya mengenai lagu ‘makanan’ yang diberi untuk pentas akhir pada Ahad ini, pemilik nama Muhammad Aliff Aziz hanya memohon doa yang baik daripada orang ramai.
Masya-Allah, pada komen yang baik atau tidak baik, terima kasih banyak-banyak kerana memberi input. Tetapi saya harap untuk pentas akhir ini bersama-sama kita tenang-tenangkan diri kita dan sama-sama buka minda dan hati kita untuk enjoy konsert final nanti.
Soal makanan atau tidak itu subjektif kepada semua orang. Macam lagu pada malam konsert separuh akhir ada yang rasakan lagu Taufik Batisah (Sesuatu Janji) itu lagu mudah tapi untuk saya ada cabarannya tersendiri dan ada bahagian yang saya perlu perbaiki.
Tapi bukan untuk saya menceritakan kerana tugas saya sebagai penghibur untuk menghiburkan, apa saja masalah atau cabaran kita kena tanggung atas bahu kita sebagai penghibur. Jadi saya harap doakan yang baik-baik kepada semua bukan hanya kepada saya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Sayang Sayang menyifatkan tindakan Bella bersuara di platform media sosial kerana ingin melindungi dan enggan melihat dirinya tertekan dengan serangan daripada netizen.
Saya ada cakap dengan Bella juga kita perlu hormati pendapat semua orang juga, setiap orang berhak menyatakan pandangan sama ada betul atau tidak itu biar Allah saja yang tahu.
Mungkin dia sebagai isteri terbawa dengan perasaan dan saya menganggap ia just a pinch of salt. Saya hanya tawakkal, anggap setiap apa yang terjadi dalam kehidupan kita adalah susunan daripada Allah.
Pada konsert akhir Ahad ini, Aliff bakal menyanyikan lagu Sampai Syurga (Faizal Tahir) dan Dealova (Once) berduet bersama Hafiz Suip.
Foto: Azrul Rafie