Adat hidup bermasyarakat haruslah saling bantu membantu. Namun lain pula terjadi pada kisah cikgu ini apabila niat ingin membantu akhirnya disalah erti. Pada awalnya dia melihat pasangan suami isteri yang sudah berusia di bahu jalan sedang mengalami masalah kerosakan kereta.
Dia cuba untuk membantu sebelum diserang seorang lelaki yang katanya cuba ‘kacau’ kerjanya. Walaupun agak pelik, dia segera bergegas keluar dari situasi itu sebelum keadaan makin tegang. Aneh-aneh la manusia ini.
Nampak kereta rosak tepi jalan
sekadar gambar hiasan
“SAYA AKAN BANTU SELAGI IA MANUSIA, BUKAN HANTU”
————————————————————–
Sepanjang pengalaman saya membantu pengguna jalan raya yang ditimpa kesulitan, pagi ini merupakan pengalaman yang boleh saya katakan sebagai agak menakutkan lah. Ceritanya lebih kurang begini. Sekitar jam 7:28 pagi 24 November 2019, semasa perjalanan memandu ke tempat kerja, saya terlihat sepasang suami isteri berbangsa (dirahsiakan) sedang berdiri di belakang kenderaan jenama Toyota Innova dengan segala barangan dari but belakangnya dipunggah keluar.
Kelihatan juga tayar belakang di sebelah kanan sudah ditanggalkan. Si suami kelihatan sedang berbual di telefon bimbitnya mungkin sedang menelefon seseorang meminta bantuan. Sebaik sahaja melepasi mereka terdetik dalam hati saya untuk membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat di depan sana untuk menghulurkan bantuan. Cikgu Marwan memang kepochi suka menyibuk hal orang lain.. Tak apalah jika ada yang fikir begitu..
Cuba membantu pasangan itu
sekadar gambar hiasan
Berhenti sebentar di tepi jalan sebelum kembali menghampiri mereka untuk meletakkan lampu strobe di bumbung kereta serta memakai safety vest saya. Sekembali ke lokasi tersebut, saya hentikan kereta saya dalam jarak selamat lebih kurang 20 meter mungkin dan meletakkan segitiga amaran (warning triangle) lebih kurang 20 meter juga di belakang kereta saya.
Sempat juga saya menghantar WhatsApp kepada pelajar saya yang sepatutnya menjalani sesi latihan memandu bersama saya jam 7.30 pagi tadi memaklumkan akan sedikit lewat nanti. Selepas itu saya terus menemui kedua “uncle dan untie” itu dan bertanya apa masalahnya dan saya diberitahu oleh “uncle” itu tayar spare tak dapat diturunkan dari tempat simpanan di bawah kenderaannya kerana alatan yang digunakan untuk menurunkan tayar tersebut telah tertanggal separuh di dalam bahagian tayar simpanan tu.
Ada orang cabut lari dengan barang tercabut
sekadar gambar hiasan
Uncle kata “tadi ada satu orang berbangsa (rahsia) datang tolong lepas itu dia sudah kasi barang tercabut dalam ini. Dia cakap dia mau balik rumah angkat barang tapi sampai sekarang sudah setengah jam tarak mari lagi..” Saya sempat berbual di talian telefon dengan anak “uncle” yang turut minta saya cuba membantu orang tuanya itu.
Saya kata tak apalah uncle saya cuba tengok apa boleh buat.. Hampir setengah jam juga la saya cuba selesaikan masalah tu akhirnya berjaya juga menurunkan tayar spare tadi. Saya cuba mencari buku manual kenderaan tapi tiada. Nasib baik ada YouTube jadi boleh lah jadi sumber rujukan.
Orang didakwa cabut lari marah-marah
sekadar gambar hiasan
Dipendekkan cerita semasa saya mula memasang tayar spare yang tak berapa cukup angin tu, tiba-tiba lelaki yang disebutkan oleh “uncle” tadi sampai dengan motosikalnya sampai menjerit-jerit marah kepada saya dan uncle serta untie tu. Dia marah-marah sebab tak puas hati kenapa saya “kacau” kerja dia yang dia tinggalkan kerana katanya memang dia nak “settle” kan kerja dia tadi cuma balik rumah ambik barang sahaja.
Uncle mula campur tangan untuk tenangkan lelaki tadi tu tapi dia masih bising-bising dengan kata-kata yang memang tak sedap didengar bercampur ugutan untuk mengapa-apakan kami bertiga terutama saya yang katanya dah ambik kerja dia. Sambil-sambil saya memasang tayar itu saya dah mula rasa terancam dan sambil itu cuba redakan dia dengan berkata maaf tiada niat lain selain daripada ingin membantu sahaja orang dalam kesusahan.
Lelaki itu cuba hentak dengan helmet dia
sekadar gambar hiasan
Lelaki tadi kelihatan beberapa kali cuba bergerak ke arah saya sambil marah-marah tapi dihalang oleh “uncle” dan “untie” tadi. Untuk elakkan situasi bertambah buruk “uncle” tadi mengeluarkan duit sebanyak RM### sambil beritahu “tak apa saya bayar sama you.. Biar dia tolong saya tak apa.. Saya bayar you..”
Bimbang dengan kejadian yang tidak diingini berlaku saya sempat ambil beberapa gambar sebagai bukti dan kebetulan lelaki itu ternampak lalu dia mencapai topi keledar dari motosikalnya dan meluru ke arah saya sambil mengeluarkan kata-kata kesat dan dalam keadaan seperti akan menghentak saya dengan helmet dia tu. Pada masa itu hanya Tuhan je tahu betapa cemasnya situasi tu. Nasib baik uncle dan untie cepat-cepat menahan dia sambil menenangkan keadaan.
Terus meninggalkan pasangan itu bimbang diri terancam
sekadar gambar hiasan
Cepat-cepat saya ikat skru tayar tersebut dan “untie” menghampiri saya sambil tanya berapa upah yang saya nak. Saya hanya berkata “biar Tuhan lah bayar upah saya untie.. Jangan risau ye.. Jaga diri..”
Apa lagi saya pun cepat-cepatlah bergerak meninggalkan lokasi sambil masih kedengaran lelaki tadi marah-marah sambil “uncle” masih memujuknya supaya bertenang. Saya sempat menepuk bahu “uncle” dan cakap “jaga diri uncle”.
Alhamdulillah tiada perkara buruk berlaku tadi walaupun situasi agak tegang. Agak terkejut, sedih dan terkilan dengan sesetengah manusia ni yang sangat-sangat tidak bertimbang rasa dan penuh dengan kebencian terhadap kebaikan orang lain. Alangkah indahnya kehidupan ini jika kita dapat hidup harmoni bantu membantu sesama insan lain kan.. Tapi realitinya ia tidak selalu begitu..
Sentiasa berwaspada di jalan raya
sekadar gambar hiasan
Peristiwa tadi saya sempat kongsikan bersama rakan-rakan rapat yang boleh dipercayai dan ada yang meminta saya membuat laporan polis tapi saya rasa tak perlulah. Tujuan saya berkongsi pengalaman “menakutkan” ini adalah supaya kita semua sentiasa berwaspada dan berhati-hati di jalan raya kerana jalan raya kita mungkin dipenuhi dengan “hantu-hantu” yang menakutkan seperti itu.
Pengalaman tadi semestinya tidak akan mematahkan semangat saya untuk sentiasa membantu pengguna jalan raya yang ditimpa kesusahan tak kira warna kulit, bangsa dan agama. Selagi dia adalah manusia InsyaAllah saya akan hulurkan bantuan. Cuma saya akan lebih berhati-hati. Kepada hantu yang rosak keretanya, maaf banyak, Cikgu Marwan blaaah dulu ye.
Sumber : Cikgu Marwan