
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin terpanggil untuk mengulas mengenai kenyataan pendakwah PU Rahmat berhubung pandangan bahawa wanita juga layak menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Artikel Berkaitan: ‘Nak Simpan Isteri Dalam Rumah & Layan Netflix Sampai 100 Episod, Silakan’ – PU Rahmat
Wanita sertai perang
Menerusi hantaran di Facebook, Mohd Asri menjelaskan bahawa keputusan membenarkan isteri atau anak perempuan terlibat dalam operasi berisiko bergantung kepada pertimbangan individu. Bagaimanapun, keputusan itu perlu dibuat dengan penuh teliti serta mengambil kira pelbagai aspek penting.
Sesiapa yang membenarkan isteri atau anak perempuannya pergi ke sesuatu operasi berisiko, ia satu pandangan atau penilaian yang mungkin ada alasannya.
Itupun hendaklah mengambil kira soal keselamatan dan harga diri wanita dalam pelbagai sudut. Ini kerana asalnya wanita tidak didedahkan kepada bahaya perang atau apa-apa bahaya tanpa keperluan.
Lelaki pula hendaklah sentiasa melindungi keselamatan isteri dan anak-anak khususnya yang perempuan.
Jika keadaan memerlukan khidmat wanita, mereka boleh sertai seperti para sahabat wanita menyertai Nabi s.a.w dalam peperangan sebagai perawat dan pembantu. Ia satu pahala.
Selain tujuan operasi yang memenuhi syarak, keizinan suami dan kesesuaian operasi di sudut diri wanita hendaklah diambil kira. Jika itu semua memenuhi, maka mereka boleh sertai sesuatu operasi.
Dalam pada itu, Mohd Asri turut menegur pandangan segelintir pihak yang merendahkan golongan wanita menyertai misi berisiko dan menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai tidak wajar.
Adapun kenyataan yang menganggap wanita yang tidak sertai sebagai isteri yang disimpan di rumah seakan tidak berperanan amatlah tidak sesuai.
Ini kerana, asal wanita memang di rumah di bawah perlindungan suami atau wali (ayah, datuk, anak lelaki, adik beradik, bapa saudara dan lain-lain).
Mereka tidak dibiarkan terdedah kepada bahaya jika tiada keperluan untuk hal itu berlaku. Justeru itu, dalam hadis mereka digalakkan solat di rumah jika kehadiran ke masjid mempunyai risiko.
Dalam semangat mahu memperjuangkan sesuatu yang kita percaya benar, kita juga hendaklah menilai setiap hal dengan imbangan pengetahuan, bukan emosi. Semoga semua pihak saling memahami.
Mengulas lanjut, Mohd Asri percaya kenyataan yang dikeluarkan oleh PU Rahmat adalah dengan niat baik, namun penggunaan kata-kata yang kurang sesuai telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.
Saya percaya niat PU Rahmat mungkin baik, cumanya pemilihan ayat saya lihat tidak sesuai. Semua pihak tidak perlu kecam.
Terdahulu, PU Rahmat meminta orang ramai agar tidak menyekat peranan wanita dalam misi kemanusiaan serta mempertahankan tindakan Nadzmi Adhwa yang memberi keizinan kepada isterinya, Ardell Aryana untuk menyertai misi ke Gaza.
Sumber: Threads