Pelakon dan pengacara Kamal Adli yakin pasukan Sepanyol mampu muncul juara Piala Dunia 2026 apabila meramalkan skuad La Roja akan menewaskan Argentina pada aksi final yang dijadual berlangsung Isnin ini.

Artikel Berkaitan: Remy Ishak Ramal Argentina Menang World Cup 2026 – ‘Takkanlah FIFA Nak Bagi Pasukan Eropah Bawa Balik Piala’

Sepanyol juara

Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 44, berkata keyakinannya terhadap Sepanyol turut dipengaruhi kehadiran pemain muda sensasi, Lamine Yamal yang disifatkannya sebagai antara tonggak penting pasukan itu.

Saya sokong Sepanyol untuk menang sebab ada Lamine Yamal. Dia seorang muslim dan juga menyokong Palestin.

No Argentina sebab saya geng Cristiano Ronaldo. Tolonglah Sepanyol menang, tidak kisah berapa pun skor, asalkan menang.

Kamal berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pelancaran siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet yang berlangsung di Media Prima Berhad pada Khamis.

Mengulas lanjut, pengacara Melodi itu mengakui Argentina bukan lawan mudah memandangkan status mereka sebagai juara bertahan, namun percaya Sepanyol memiliki kemampuan untuk mencipta kejutan.

Kalau ikut logik, Argentina ada peluang besar untuk menang. Tapi melihat rekod, kedua-dua pasukan sama-sama kuat.

Saya berharap akan ada keajaiban untuk Sepanyol pada malam final. Sudah beberapa kali Argentina mula-mula tiada jaringan, hujung-hujung permainan masuk gol.

Untuk info, pentas final Piala Dunia 2026 bakal menemukan juara bertahan Argentina dengan Sepanyol dalam perebutan trofi paling berprestij bola sepak dunia.

Sementara itu, aksi penentuan tempat ketiga akan menyaksikan England berdepan Perancis selepas kedua-dua pasukan tersingkir di peringkat separuh akhir.