Setiap kali tibanya Syawal, sudah pasti perkara paling dinantikan adalah untuk menikmati pelbagai juadah enak yang hanya boleh didapati pada hari raya. Pastinya juga, setiap daripada kita mempunyai juadah kegemaran masing-masing, begitu juga dengan pelakon jelita, Nora Danish.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Buka Rumah Produksi Sendiri Tanda Nora Danish Mahu Balas Dendam?
Artikel berkaitan: ‘Jom Beraya’ Gabungan Atu Zero & Danial Zaini Bakal Meriahkan Filem Sumpahan Malam Raya
Lemang dengan daging wagyu
Menurut Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 41, juadah yang paling dinantikan adalah lemang.
Menjadikan makanan tradisi itu sebagai menu wajib setiap Syawal, Nora menjelaskan dia hanya akan menikmati lemang pada Hari Raya Aidilifitri sahaja dan tidak pada bulan-bulan biasa.
Malah, aktres itu turut berkongsi, lauk yang dimakan bersama lemang adalah rendang daging jenis wagyu.
Tahun ini saya beraya di rumah mentua iaitu keluarga suami, jadi tidak lah perlu untuk menyediakan juadah yang banyak sangat.
Tetapi bila bercakap fasal juadah, perkara wajib adalah lemang, saya tidak akan makan lemang pada hari-hari biasa.
Saya selalunya banyak membantu perniagaan orang-orang di luar saya. Jadi banyak membeli makanan untuk raya daripada menyediakan.
Saya selalu makan lemang dengan rendang tidak kisah daging atau ayam, kadang kala makan dengan daging wagyu yang suami masak. Sedap juga rasanya, ada juga yang orang buat.
Sementara itu, ditanya siapakah yang sering menyediakan juadah di pagi raya, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata segalanya disediakan oleh suami, Nedim Nazri. Manakala tugasnya adalah menyediakan persiapan dari segi pakaian dan lain-lain.
Saya sangat bersyukur apabila dapat suami yang memahami, kebiasaannya pagi raya dia yang masak dan saya akan menyediakan persiapan dari segi baju raya, sampin dan kelengkapan lain.
Dalam perkembangan terkini, Nora bakal muncul dengan filem lakonan terbaharu berjudul Sumpahan Malam Raya. Selain Nora, filem arahan Datuk Prof. Ts. Dr. A. Razak Mohaideen turut membariskan pelakon hebat termasuk Atu Zero, Reen Rahim, Danial Zaini, Rita Rudaini dan ramai lagi.
Saksikan Sumpahan Malam Raya di pawagam seluruh negara bermula 22 April ini bersamaan 1 Syawal.
Sumpahan Malam Raya mengisahkan tentang Syawal, Tania, Adam dan Misha yang mengusahakan sebuah homestay berhantu dengan pelbagai kejadian pelik yang berlaku menjelang Hari Raya dan mereka semua cuba merungkaikan misteri tersebut satu-persatu.