Selepas melahirkan anak bongsu pada 2018, pelakon Nora Danish memilih untuk memperlahankan kerjaya seninya disebabkan mahu memberi fokus kepada anak dan keluarga sehingga dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon yang diberikan.
Artikel berkaitan: ‘Kehadiran Orang Ketiga Satu Ujian Allah’ – Nora Danish
Artikel berkaitan: Sempena Ulang Tahun Perkahwinan Yang Ke-6, Nora Danish & Suami Santai ‘Supper’ Burger Tepi Jalan
Buka production sendiri
Susulun itu, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 41, mengambil keputusan untuk membuka rumah produksi sendiri agar minatnya sebagai seorang pelakon masih dapat diteruskan.
Malah, dia akui teruja kerana dirinya mempunyai hak serta kuasa dalam menentukan jenis naskhah dan pelakon yang diinginkan.
Saya sekarang lebih masa kepada keluarga dan anak-anak, terutama yang bongsu dia rapat sangat dengan saya. Saya tidak risau jika tiada tawaran berlakon yang dapat disebabkan saya sangat memilih dengan situasi saya ketika ini.
Sebab apa saya tidak perlu risau kerana saya sudah memiliki rumah produksi sendiri. Jadi dengan adanya rumah produksi sendiri, saya boleh merealisasikan watak-watak berat atau mungkin watak yang tak pernah saya buat dalam mana-mana naskhah sebelum ini.
Saya boleh pilih pelakon siapa yang saya mahu, jalan cerita yang bagaimana saya sendiri inginkan. Ada hak dan kuasa untuk berbuat demikian. Nama production saya ND Production dan kami bermula sejak Disember tahun lalu.
Saya dah berlakon selama 20 tahun, jadi untuk meninggalkan sesuatu yang diri sendiri minat itu memang susah. Jadi saya masih boleh aktif dalam bidang ini dan teruskan berkarya.
Nora berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Sumpahan Malam Raya di GSC, Nu Sentral pada Rabu.
Tanda balas dendam?
Ditanya adakah ini tanda dia membalas dendam disebabkan sebelum ini terikat dengan rumah produksi lain, anak kelahiran Terengganu itu menafikan perkara tersebut.
Membuka rumah produksi sendiri bukan tanda ingin membalas dendam sebab tak dapat buat dekat mana-mana filem atau drama, tetapi apa yang saya boleh katakan lakonan sudah sebati dalam hidup saya.
Jadi dengan ada rumah produksi sendiri, ini adalah pilihan yang tepat untuk saya teruskan minat saya.
Sementara itu, berkongsi mengenai penglibatannya dalam Sumpahan Malam Raya, ibu kepada tiga cahaya mata itu akui seronok apabila dapat mebawakan watak yang lebih ringan dan lucu.
Saya memang suka bekerja di bawah Prof, sebab dia sangat rileks dan seronok. Saya ada anak untuk uruskan mereka ke sekolah lagi, jadi watak-watak ringan dan tidak berat sebegini saya terima kerana sesuai dengan keadaan semasa saya.
Filem ini sangat simple, komedi yang ringan. Balik rumah pun tidak stress kalau pilih watak-watak begini. Saya tak perlu kelakarkan diri saya, sebab dalam filem ini ada Atu dan Danial, mereka banyak membantu saya menjayakan watak kelakar dalam filem ini.
Selain Nora, filem arahan Datuk Prof. Ts. Dr. A. Razak Mohaideen turut membariskan pelakon hebat termasuk Atu Zero, Reen Rahim, Danial Zaini, Rita Rudaini dan ramai lagi. Saksikan Sumpahan Malam Raya di pawagam seluruh negara bermula 22 April ini.
Sumpahan Malam Raya mengisahkan tentang Syawal, Tania, Adam dan Misha yang mengusahakan sebuah homestay berhantu dengan pelbagai kejadian pelik yang berlaku menjelang Hari Raya dan mereka semua cuba merungkaikan misteri tersebut satu-persatu.
Video
@ohbulanofficial Letopsssssssss ?? Apapun semoga terus sukses buat Nora Danish #ohbulan #sembangentertainment #noradanish #ingin #buka #produksi #sendiri #fyp ? original sound – OHBULAN!