Selepas menganjurkan konsert sulung pada Oktober lalu, penyanyi Noraniza Idris mengakui terasa hati sehingga mengalirkan air mata membaca komen segelintir netizen mengatakan acara tersebut tidak ‘gempak’.
Artikel Berkaitan: Erra Fazira Tak Ambil Pusing Tentang Gelaran Datuk – ‘Ramai Lagi Artis Senior Yang Lebih Layak’
Artikel Berkaitan: Noraniza Idris Buka Mulut Isu Poster Konsert Qalam Disamakan Dengan Tahun Baharu Cina
Menangis baca komen
Menganggap kecaman sebahagian asam garam bergelar selebriti, Noraniza atau mesra disapa Kak Ani, 56, bagaimanapun bersyukur konsert berkenaan berlangsung dengan jayanya.
Saya baca segala komen netizen walaupun menguris hati saya. Kadang kala saya menangis dan sedih kerana rasa tidak dihargai oleh mereka.
Mereka kata konsert saya tak gempak, tak macam artis lain punya konsert tapi saya sudah maklumkan sebelum ini yang ia merupakan gabungan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Saya anggap konsert itu sebagai satu kejayaan kerana selama 39 tahun saya berkarya ini pertama kali saya adakan konsert.
Ada juga tercatat dalam sejarah industri kalau esok saya belasungkawa ada juga satu konsert saya yang orang kata.
Noraniza berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di program MeleTOP yang bersiaran langsung di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Memandang perkara itu dari sudut positif, pelantun lagu Dikir Puteri ini berkata, tidak semua orang mampu melakukan sepertinya yang memikul tiga tanggungjawab besar iaitu pengarah projek, penyanyi utama dan usahawan produk makanan semasa konsert itu.
Tapi apabila fikir semula saya ambil dari sudut positif dan berpendapat mereka hanya prihatin terhadap saya.
Tak apalah mereka nak kecam asalkan mereka tahu apa yang saya lakukan. Kalau orang mula tak ambil kisah itu yang bahaya.
Jadi perkara biasa ada orang suka atau tidak. Bukan semua orang boleh buat macam saya, kira lain juga.
Imbas kembali, pada Oktober lalu, penyanyi yang terkenal dengan julukan Ratu Irama Malaysia itu telah mengadakan konsert yang diberi nama Qalam Noraniza Idris berlangsung di Melaka.