Penyanyi, Azharina mendedahkan dirinya berdepan masalah kesihatan yang sedikit sebanyak menjejaskan kualiti nyanyiannya sejak kebelakangan ini.
Artikel Berkaitan: Azharina Menangis Bukan Sebab Komen Juri – ‘Saya Bersalah Dengan 4 Orang Guru’
Tidak mahu heboh
Ketika ditemui OhBulan!, Azharina atau nama sebenarnya Azharina Azhar berkata, dia baru sahaja mengetahui mengenai penyakitnya itu sekitar setahun yang lalu dan kini sedang menjalani proses rawatan.
Namun begitu, penyanyi berusia 38 tahun itu enggan berkongsi penyakit apa yang dihidapinya kepada media.
Saya mempunyai masalah kesihatan yang saya tidak perlu kongsikan buat masa sekarang. Saya dapat tahu mengenai penyakit ini pada tahun lepas.
Penyakit ini sangat menggangu saya dari segi stamina dan kualiti suara saya bahkan ada hari yang saya rasa nak baring sahaja sebab terlalu penat.
Tetapi orang yang kenal saya pasti tahu saya ini orangnya yang sangat positif dan ceria. Umur saya sekarang ni sudah meningkat dan mencecah hampir 40 tahun dan sudah tentu ianya menjadi salah satu faktor kepada penurunan kualiti nyanyian saya namun ia bukanlah satu alasan.
Tetapi ada perkara yang saya boleh kongsi dan ada perkara yang saya tidak boleh kongsi.
Azharina berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media konsert All Stars Gegar Vaganza (ASGV) minggu ketujuh yang diadakah di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam pada malam Ahad.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Elegi Sepi’ tersebut mendedahkan dia cuba sedaya upaya untuk memperbaiki vokal dan nyanyiannya dengan cara meningkatkan semula stamina.
Dan kalau ingat saya pernah maklumkan yang saya belajar seni mempertahankan diri seperti Muay Thai dan boxing sebab saya nak build up stamina saya balik.
Bila kita ada masalah kesihatan ni memang akan berlakunya shaky dalam nyanyian dan sebagainya jadi saya harus perbaiki semula vokal saya.
Selain itu saya juga belajar bersama guru vokal, Cikgu Shafi mengenai bahagian teknikal dalam nyanyian dah sebagainya.
Apa yang saya nak katakan ialah kita perlu sentiasa positif untuk meneruskan perjalanan hidup kita ini.
Terdahulu, juri tetap ASGV, Datuk Ramli MS mengatakan bahawa kualiti persembahan nyanyian Azharina sedikit menurun berbanding sewaktu dirinya menyertai pertandingan tersebut sekitar tujuh tahun yang lalu.