Tahun 2024 bakal melabuhkan tirai hanya beberapa hari sahaja lagi. Kejayaan yang dikecapi oleh anak-anak seni di negara ini semestinya menjadi kebanggaan segenap masyarakat.
Jadi, sebelum masuk ke tahun 2025, jom tengok senarai kejayaan selebriti tanah air yang paling berjaya dan mendonia sepanjang tahun ini.
Artikel Berkaitan: OBWRAPPED24: 10 Lagu Trending Sepanjang 2024, ‘Bertahan Demi Cinta’ Antara Paling Hit!
1. Datuk Seri Siti Nurhaliza
Pada 13 November lalu, penyanyi nombor satu negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza telah dianugerahkan gelaran Biduanita Negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara pada majlis penuh gilang-gemilang, Anugerah Seni Negara (ASN) 2024.
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin menitipkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan di atas penganugerahan tersebut.
Ujar penyanyi berusia 45 tahun, anugerah itu merupakan satu tanggungjawab untuknya terus mempertabatkan muzik dan budaya tanah air.
Dari tidak yang luhur, saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni saya, namun merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanah air.
Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman.
Selaku penerima bagi anugerah tersebut, pelantun lagu ‘Hati Kama’ itu menerima wang tunai RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.
Sekadar info, Siti merupakan individu keempat yang dianugerahkan anugerah tersebut selepas Allahyarham Saloma pada tahun 1978, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006 dan Allahyarham Tan Sri SM Salim pada 2013.
2. Siti Saleha
Pelakon, Siti Saleha yang mesra disapa Sally berjaya mengharumkan nama negara selepas berjaya meraih Anugerah Bintang Asia Terbaik di Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 pada 25 September lalu.
Kemenangan tersebut dikongsikan sendiri Sally menerusi perkongsiannya di Instagram.
Sekadar info, Siti Saleha atau nama lengkapnya Mohd Baharum dicalonkan dalam kategori Bintang Asia Terbaik menerusi drama siri asal berjudul SeOfis yang disiarkan di platform digital Tonton.
3. Ernie Zakri
Penyanyi, Ernie Zakri juga tidak kurang hebat selepas lagu nyanyiannya bersama komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda berjudul ‘Masing-Masing’ dinobatkan sebagai pemenang kategori Soundtrack Sinetron Paling Ngetop (OST) di Anugerah SCTV 2024 yang berlangsung di Indonesia, pada 20 November lalu.
Lebih membanggakan, Ernie Zakri merupakan artis Malaysia pertama yang memenangi anugerah dalam SCTV Awards 2024 dan merupakan satu-satunya selebriti yang mewakili Malaysia.
Ernie atau nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, dalam ucapannya di pentas acara berkenaan meluahkan rasa syukur dan gembira di atas kemenangan tersebut.
Ini pertama kali saya muncul di rancangan besar di Indonesia, masya-Allah di atas rezeki ini. Kepada di Malaysia yang sedang lihat, subhanallah.
Terima kasih SCTV Awards, Universal Music Malaysia dan Universal Music Indonesia.
Selain Ernie, Biduanita Negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza juga pernah mencipta kemenangan selepas meraih anugerah Artis Asing Paling Ngetop di SCTV Music Awards pada edisi 2004.
4. Aina Abdul
Penyanyi, Aina Abdul akhirnya dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 selepas hampir 10 tahun berkecimpung dalam industri hiburan.
Meraih lebih 8 juta undian daripada peminat, pelantun lagu ‘Puas Sudah’ itu menganggap segala pengorbanan yang dilakukannya sepanjang berada dalam industri membuahkan hasil selepas memenangi anugerah berprestij itu.
Alhamdulillah, saya tak jangka langsung dapat memenangi Anugerah Bintang Paling Popular ini kerana perjalanan dan karier saya tidak mudah.
Satu pesanan ibu saya kepada saya yang tidak akan saya lupa sampai bila-bila ialah ‘Dont give up, Allah is up’.
Selain dinobatkan sebagai pemenang Bintang Paling Popular, Aina turut memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular dan telah berjaya membawa pulang trofi dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tajaan produk kecantikan, CONBOO.
5. Ummi Umairah
Ke mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi! Itulah perumpamaan yang sesuai digunakan buat anak saudara kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Umai yang merangkul pingat emas pada pertandingan antarabangsa World Championships of Performing Arts (WCOPA) Ke-27 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 5 Julai lalu.
Kemenangan Umai itu turut dikongsi Siti di media sosial yang meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan yang diraih anak saudaranya itu.
Untuk rekod, Umai atau nama sebenarnya Ummi Umairah Abdullah berjaya mengharumkan nama negara dengan menewaskan empat lagi finalis lain termasuk dari Emiriah Arab Bersatu dan Afrika Selatan menerusi lagu ‘A Natural Woman’ nyanyian asal Aretha Franklin.
6. Bella Astillah
Meskipun terpalit dengan pelbagai kontroversi, itu tidak menghalang pelakon dan penyanyi, Bella Astillah untuk ‘mendunia’ dan melangkah jauh dalan industri hiburan.
Pada Julai, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berjaya mengharumkan nama negara apabila mewakili Malaysia melakukan persembahan di Wuhu Shenshan Music Festival 2024, yang diadakan di China.
Selain Bella, adiknya iaitu Didi Astillah turut sama menjayakan persembahan di hadapan ribuan penonton di China.
Menerusi persembahan terebut, dua beradik ini telah mendendangkan lagu ‘Sumandak Sabah’ nyanyian asal Velvet Aduk dan Marsha Milan serta sebuah lagu berbahasa Cina.
7. Wani Kayrie
Seorang lagi penyanyi kelahiran Sabah iaitu Wani Kayrie juga berjaya mengharumkan nama negara selepas dijemput untuk melakukan persembahan di acara berprestij iaitu 28th Asian Television Awards di Vietnam, pada 12 dan 13 Januari lalu.
Menjadi wakil tunggal Malaysia, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah begitu teruja dan berbangga dengan dirinya kerana diberi peluang untuk melakukan persembahan di acara berprestij berkenaan.
Perasaan saya sudah pasti berasa sangat teruja dan gembira walaupun ini merupakan kali ketiga saya mewakili Malaysia ke Asian TV Awards.
Rasa teruja sebab saya bawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dan saya satu-satunya wakil negara. Memang bangga dapat mengharumkan nama Malaysia.
Menerusi persembahannya, Wani telah membawakan dua buah lagu miliknya yang berjudul ‘Fajar’ dan ‘Kamu Kamu’ serta sebuah lagi lagu nyanyian asal Ariana Grande, Nicky Minaj dan Jessie J iaitu ‘Bang Bang’.
8. Khairul Aming
Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming bukan sahaja berjaya menerusi video-video masakan yang dihasilkannya sepanjang berkunjung ke New Zealand.
Hasil daripada penghasilan video itu, Khairul telah menerima kunjungan Perdana Menteri New Zealand iaitu Christopher Luxon bersempena lawatan pemimpin itu ke Malaysia pada September lalu.
Menerusi perkongsian yang dibuat Khairul di Instagram (IG), kunjungan Christopher merupakan satu bentuk penghargaan daripada New Zealand selepas dirinya banyak menghasilkan video memasak di negara tersebut sebelum ini.
Lebih teruja, Khairul juga berkesempatan untuk memasak juadah roti jala serta bersarapan bersama Christopher.
Tidak terhenti di situ, Khairul juga sempat bertukar pendapat bersama Christopher mengenai sektor pelancongan yang mungkin boleh diketengahkan antara dua negara.
Terbaharu, Khairul Aming terus menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang pempengaruh selepas mengetuai pasukan misi Bantuan Orang Baik (BOB) untuk membantu lebih 20,000 mangsa banjir di Kelantan.