Filem ‘Imam Tanpa Makmum’ bergenre romantik komedi merupakan terbitan produksi Indonesia, Syakir Pictures dengan kerjasama Onprima Studio.
Artikel Berkaitan: 20 Tahun Menanti! Impian Hafiz Nafiah Nak Jadi Pengarah Akhirnya Tercapai, ‘Mat Kola’ Bakal Ditayangkan 21 September Ini!
Miliki visi dan misi yang sama
Menurut Ketua Pegawai Eksekutik Onprima Studio, Mohd Shahir Sulaiman, pihaknya membuat keputusan memilih untuk menjalinkan kerjasama ini selepas melihat Syakir Pictures memiliki misi dan visi yang sama dengan pihaknya iaitu ingin memartabatkan karya Nusantara ke peringkat yang lebih tinggi.
Pihak kami amat berbesar hati dapat bersama-sama dengan Syakir Pictures menerusi karya yang disifatkan agak berbeza daripada kebanyakan karya seberang apatah lagi ia diarahkan oleh anak muda yang saya lihat mempunyai masa depan cukup cerah.
Diharap kerjasama ini akan berterusan untuk projek yang akan datang dengan lebih banyak genre filem. Saya percaya kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penonton menerusi karya yang ditampilkan tetapi juga buat seluruh warga industri perfileman tanah air.
Filem “Imam Tanpa Makmum” karya Syakir Daulay yang menelan kos sebanyak RM1.4 juta memperlihatkan keberanian dan keazaman pengarah muda ini untuk menyentuh tema perkahwinan muda, yang nampaknya berbeza daripada naskhah-naskhah filem dari negara seberang.
Menurut Syakir, filem yang telah ditayangkan di Indonesia pada 19 Oktober lalu itu akan membuatkan penonton melihat alam perkahwinan dengan pandangan yang berbeza.
Pengarah muda Indonesia, Syakir Daulay memberitahu bahawa dia mahu mengikut jejak langkah idolanya, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dengan menjadi seorang anak seni yang serba boleh.
Justeru, Syakir yang baru berusia 21 tahun itu berani untuk mengambil risiko memegang posisi penerbit, pengarah dan pelakon serentak dalam karya sulungnya, Imam Tanpa Makmum.
Tetap berani ambil risiko
Sedar akan cabaran yang menantinya, pelakon kelahiran Aceh itu tetap berani mengambil risiko walaupun diragui oleh ramai pihak.
Ya, memang bukan mudah pegang tiga posisi serentak dalam satu karya. Sebagai penerbit saya harus memastikan kru dan pelakon semua berada dalam keadaan baik dan di kerusi pengarah saya perlu pastikan penggambaran berjalan seperti mana yang dijadualkan.
Sementara di posisi pelakon saya perlu lontarkan nilai seni dan lakonan dengan baik. Selepas merasainya cabarannya, cukuplah dalam karya ini sahaja saya pegang begitu banyak tanggungjawab.
Memang karya ini dibikin untuk saya belajar. Pada masa depan rasanya lebih selesa untuk berada di kerusi pengarah dalam karya yang dibikin sendiri.
Jika karya orang lain, saya lebih suka menjadi pelakon sahaja. Saya cuba untuk menjadi seperti P.Ramlee,” ujar Syakir yang memegang watak sebagai Imam.
Ditanya mengenai sebab meminati seniman agung dari Malaysia itu, Syakir menjawab bahawa dia terpesona dengan karya-karya P.Ramlee yang bukan sahaja malar segar tetapi juga memilik isi yang memberi impak kepada masyarakat.
Karya-karya P.Ramlee bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi turut mempunyai mesej-mesej yang jelas untuk sesuatu isu buat masyarakat.
Saya mahu jadi seperti beliau yang sehingga sekarang jika dilihat semula karya-karyanya masih dapat menjentik hati dan memberi rasa pada penonton.
Sementara itu, sebagai pelakon baru yang pertama kali mengambil bahagian dalam filem, Rayisa Nayla Salwa berharap agar lakonannya dapat diterima dengan baik oleh penonton.
Sebelum ini saya seorang model iklan dan juga pempengaruh media sosial, ini adalah percubaaan pertama dalam lakonan.
Saya bersetuju untuk berlakon kerana Syakir yang merupakan sahabat saya. Andai selepas ini ada lagi peluang lakonan saya akan pertimbangkan.
Filem Imam Tanpa Makmum yang dibintangi oleh Syakir Daulay, Rayisa Nayla Salwa, Vonny Felicia, Cut Mini Theo, Lukman Sardi dan Arif Brata itu akan mula ditayangkan dipawagam seluruh negara pada 30 November 2023.