berita

Orang Indonesia Pun Mengaku Kalah Dengan Muzik Kita – Rahmat (Mega)

January 18th, 2013 | by Ai
Kini Trending

Rahmat MegaMula popular sekitar awal 90an, kumpulan Mega adalah satu-satunya kumpulan ‘rock kapak’ yang pernah merangkul trofi “Juara Lagu” (AJL 1991) selepas kumpulan Search (AJL 1989). Lagu mereka yang berjudul “Takdir Dan Waktu” berjaya memikat hati juri dan sehingga kini masih lagi menjadi lagu kegemaran pendengar muzik tempatan.

Berkesempatan menemui Rahmat, vokalis kumpulan Mega ini di majlis sidang akhbar “Konsert Gegar 5 Legenda” semalam, OHBULAN! cuba mendapatkan respon beliau selepas dijemput membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu yang berlangsung pada 6 Januari lepas.

“Impak selepas AJL sangat bagus dan pada malam itu saya rasa sangat terkejut. Saya dapat rasa ‘trend’ muzik rock ini datang balik.

“Susulan daripada tu, ‘show’ yang dulu pernah rancang tapi ditangguhkan kini datang balik lepas nampak sambutan peminat di AJL,” ujar penyanyi berusia 44 tahun ini.

Rahmat turut berkongsi pengalamannya sewaktu era muzik rock kapak menjadi kegemaran peminat tempatan dan memberitahu pada ketika itu, penggiat industri hiburan dari seberang turut mengaku kalah pada penyanyi di Malaysia.

“Sampai orang Indonesia pun mengaku kalah dengan muzik kita kerana suara tinggi. Dengan lagu Isabella mereka mengaku kalah. Tapi hari ini kita tiru muzik mereka sedangkan dulu, mereka cuba tiru muzik kita.

“Sebenarnya, peminat masih menyukai muzik dulu (merujuk pada era 80-90an), tengok saja Lan dan Black, kedua mereka mempunyai tona suara yang tinggi,” tambah Rahmat lagi.

Rahmat turut memberitahu antara tips dia berjaya mengekalkan vokalnya walaupun selepas 25 tahun menjadi penyanyi adalah dengan mengelakkan rokok.

“Saya memang tak merokok dan itu adalah sebab utama suara saya masih kekal begini.”

Dalam perkembangan terbaru, Rahmat bakal membuat persembahan di Istana Budaya bagi “Konsert Gegar 5 Legenda” bersama Saleem, Zamani, Ali Terrarossa dan juga Aris Ariwatan. Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 22-24 Februari dan tiket boleh didapati pada harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200, dan RM250.

SKIP THIS AD ×