berita

Osman Ali Gandingkan Aaron Aziz & Izara Aishah Dalam Filem “Pilot Cafe”?

November 30th, 2012 | by Ai
Filem Antarabangsa

Kecoh sebelum ini mengatakan Osman Ali menolak untuk mengarahkan filem “Pilot Cafe” kerana pihak produksi yang sama menerbitkan filem “Ombak Rindu” tidak memberikan bonus setelah mengaut keuntungan yang banyak.

Tidak cukup disitu, menurut sebuah blog hiburan, penerbit filem “Ombak Rindu” iaitu Sharad Sharan dikatakan menawarkan Osman Ali dan isterinya pakej percutian ke Eropah, namun masih tidak mencapai kata sepakat. Aaron Aziz juga sebelum ini dikatakan bermain tarik tali terhadap tawaran diberikan kerana isu yang sama iaitu kutipan bonus filem “Ombak Rindu”.

Terbaru, melalui sumber yang dipercayai, pihak produksi Sharad Sharan sedang mencari pelakon pembantu lelaki dan khabarnya dua watak hero “Pilot Cafe” telah pun disenarai pendekkan. Filem ini juga dijangka akan dimulakan penggambarannya sekitar bulan Februari 2013.

Apa yang pasti, sumber mengatakan nama Izara telah pun disebut sebagai pemegang watak heroin dan berkemungkinan besar akan berganding bersama Aaron Aziz ataupun Fahrin Ahmad. Ini bermakna, sebuah lagi khabar angin mengatakan Neelofa turut terlibat mungkin hanyalah sebagai watak pelakon pembantu. Berita ini sekaligus memadamkan segala persoalan mengenai Osman Ali yang dikatakan menolak untuk mengarahkan filem “Pilot Cafe”.

Untuk pengetahuan, “Pilot Cafe” adalah sebuah novel duet karya Ahadiat Akashah & Zuraidah Othman yang mengisahkan tentang dilema seorang gadis terhadap dua lelaki.

Jika benar tentang khabar angin yang bertiup ini, anda rasa siapakah yang paling sesuai untuk memegang watak hero? Aaron Aziz atau Fahrin Ahmad?