Pelakon, Ozlynn Waty mengakui hatinya tersentuh apabila membaca luahan seorang pengguna media sosial yang berkongsi cabaran menjaga ibu yang sedang uzur.

Artikel Berkaitan: Ozlynn Tersentuh Baca Luahan Anak Jaga Ibu Uzur – ‘Awak Kuat Hadapinya Tanpa Lari, Syurga Menanti’

Artikel Berkaitan: ‘Syahdu Dengar Ucapan Raya Johan..Dia Minta Maaf Dekat Kami, Daripada Saya Sampai Ke Helper’ – Ozlynn

‘Awak bukan robot, lepaskan’ – Ozlynn

Menerusi satu komen balas di Threads, Ozlynn, 44, menyifatkan perasaan penat dan lelah yang dilalui individu tersebut sebagai sesuatu yang wajar, malah tidak salah untuk diluahkan agar tidak terpendam.

Lepaskan apa yang awak rasa, tidak salah. Lepaskan rasa yang bukan dipanggil beban, tetapi keletihan jiwa dan fizikal.

Awak bukan robot, awak manusia. Perasaan itu wajar. Kami di sini mendengar. Ujian itu besar, tetapi awak masih kuat menghadapinya tanpa lari.

Dalam masa sama, isteri kepada pelawak dan penyampai radio Johan itu turut memberikan kata-kata semangat serta mengingatkan bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan pasti mempunyai ganjaran di sisi Tuhan.

Syurga menanti awak. Semua di dunia ini hanya pinjaman. Allah pinjamkan awak untuk kami belajar bersyukur dan Allah juga pinjamkan kami untuk mendengar luahan awak.

Andai suatu hari nanti ada antara kita yang dijemput dulu, jangan lupa, kita saling ‘tarik’ antara satu sama lain ke syurga.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial berkongsi kisahnya menjaga ibu yang menghidap penyakit buah pinggang, termasuk berdepan pelbagai ragam harian yang menguji emosi dan fizikal.

Malah, individu tersebut turut mengakui pernah menitiskan air mata apabila perlu menguruskan kebersihan ibunya, termasuk membersihkan najis.

Bagaimanapun, dia menjelaskan perkongsian itu bukan untuk meraih simpati, sebaliknya sekadar meluahkan perasaan serta berkongsi realiti sebenar pengorbanan seorang anak dalam menjaga orang tua yang sakit.

Sumber: Threads