Sekadar gambar hiasan
Seorang lelaki tergamak mencekik dan menetak ibunya menggunakan sebilah parang sehingga maut di kediaman mereka yang terletak di Kampung Pesagi, Chenor, Terengganu. Paling mengejutkan apabila mengetahui suspek dipercayai sudah merancang pembunuhan tersebut terlebih dahulu.
Anak cekik, tetak ibu sampai maut
Foto: Kosmo
Memetik laporan Kosmo, mangsa, Mariani Ismail tinggal bersama suspek dan cucu lelakinya di rumah tersebut. Ketika insiden ngeri berlaku, mangsa berusia 55 tahun bersama cucu lelakinya yang berusia 10 tahun sedang tidur namun secara tiba-tiba suspek datang menyerang sebelum bertindak mencekik lehernya.
Nasib baik cucu mangsa dapat membuka pintu dan berlari ke rumah salah seorang anak perempuan mangsa yang tinggal bersebelahan.
Sebaik sahaja mengetahui insiden itu, anak perempuan mangsa bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu tetapi sayangnya dia tidak berani untuk masuk ke dalam rumah tersebut selepas melihat suspek berdiri di tepi pintu sambil memegang sebilah parang. Dia kemudian menghubungi adik beradik yang lain untuk memaklumkan tentang kejadian. Sementara itu, anak lelaki mangsa iaitu Firdaus Ahmadiah bergegas ke rumah ibunya selepas dimaklumkan tentang insiden tersebut.
Saya meluru masuk dan memapah ibu yang sudah tidak dapat bergerak dengan kesan kecederaan yang serius. Saya bertanya kenapa abang buat ini (terhadap ibu) dan dia memberitahu bahawa ibu yang suruh dia bunuh.
Konon ibu yang suruh bunuh
Foto: Kosmo
Menurut sumber, mangsa juga pernah menasihati suspek supaya tidak membeli dadah lebih-lebih lagi selepas permohonan pengeluaran duit i-Sinar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja diluluskan.
Suspek dikatakan seperti merancang kejadian pembunuhan apabila dia bertindak menutup pintu dan lampu luar selain memakai parang yang baru dibelinya di pinggang.
Lebih mengejutkan apabila melihat suspek langsung tidak panik dengan situasi tersebut dan mengaku melakukan pembunuhan itu atas suruhan ibunya sendiri. Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dan terdapat kesan luka disyaki akibat tetakan objek tajam pada bahagian dahi, mulut, perut dan tangan kanan.
Berhalusinasi dengar ‘bisikan’ suara halus
Sekadar gambar hiasan
Susulan daripada insiden itu, suspek yang berusia 39 tahun telah ditahan oleh pihak polis dan telah direman sehingga 5 Mei ini.
Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku menggunakan parang menetak mangsa setelah berhalusinasi mendengar bisikan suara halus yang menyuruh dia berbuat demikian.
Hasil siasatan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan baru selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah pada Mac lalu. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan, kes ini akan disiasat Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo