berita

Padah Sebar Berita Palsu Di Status WhatsApp, Suri Rumah Sarat Hamil Didenda RM5,000

June 2nd, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Berita Harian

Gara-gara menyebarkan berita palsu berkaitan penularan Covid-19 di aplikasi status Whatsapp, seorang wanita sarat hamil telah didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis. Difahamkan, penyebaran berita tidak benar itu dilakukan pada 18 April lalu di Arau.

Padah sebar berita palsu di Whatsapp

Foto: Kosmo

Memetik laporan daripada Berita Harian, tertuduh yang dikenali dengan nama Norjannah Rusli berusia 28 tahun itu mengaku bersalah atas tindakannya menyebarkan berita palsu di status Whatsapp mengenai penularan wabak Covid-19 di sebuah sekolah di Arau. Perbuatan tersebut secara tidak langsung telah mencetuskan kebimbangan dan ketakutan dalam kalangan guru, pelajar, kakitangan sekolah dan juga penduduk setempat.

Berikutan daripada itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021.  Menurut sumber, walaupun ini merupakan kesalahan pertama ibu kepada dua orang anak ini tetapi tindakan setimpal perlu dikenakan keatasnya sebagai pengajaran buat semua supaya tidak menyebarkan berita palsu.

Dikenakan denda RM5,000

Sekadar gambar hiasan

Peguam Zuhair yang mewakili tertuduh meminta mahkamah meringankan hukuman kerana tertuduh sedang sarat hamil 28 minggu. Tambahan pula, suami tertuduh  baru sahaja kehilangan pekerjaan sebagai pemandu lori. Oleh hal demikian, Hakim Musyiri menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 dan tertuduh juga boleh dipenjara lima bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun tertuduh kemudian telah membayar denda tersebut.

Sumber: Berita Harian, Kosmo

SKIP THIS AD ×