Tindakan tiga jururawat sebuah hospital swasta, yang bertindak berkunjung ke rumah rakan mereka yang sedang kuarantin mengundang padah apabila ketiga-tiga mereka dikenakan kompaun sebanyak RM4,000.
Kompaun tersebut dikenakan berikutan kesalahan mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kunjung rumah rakan
Menerusi laporan Utusan Malaysia, ketiga-tiga jururawat ini bertindak mengunjungi rakan mereka itu bagi menyampaikan sumbangan sebelum memuat naik foto bersama di media sosial.
Ujar Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mereka yang berusia 34 hingga 45 tahun itu dipercayai mengunjungi rumah rakan mereka yang terletak di Kampung Pulau Tengah, Kedah.
Difahamkan, rakan mereka sedang menjalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19. Ujar Adzli lagi, menerusi soal siasat yang dijalankan, pihak polis mendapati mereka gagal mematuhi SOP PKP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Polis kemudian mengesan penama Facebook terbabit pada pukul 9.10 malam semalam dan dia mengaku melakukan kesalahan tersebut bersama dua lagi rakannya sebelum hadir di balai polis.
Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan).