Penyanyi, Datuk Nora Ariffin meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang kedua selepas ‘bertarung nyawa’ selama 11 hari apabila dimasukkan ke wad ekoran keadaan kesihatannya.
Artikel Berkaitan: Nora Ariffin Masuk ICU Akibat Sesak Nafas
‘Saya tak boleh bernafas secara tiba-tiba’
Pelantun lagu Di Persimpangan Dilema ketika ditemui pada sidang media Pelancaran Pes Kerutuk dan Pes Serbaguna Secukup Rasa by Nora berkata, pada mulanya dia menerima rawatan di sebuah hospital selepas disyaki demam panas.
Asalnya saya hanyalah demam, kemudian saya pergi ke klinik dan disyaki (suspek) menghidap demam denggi. Kemudian, saya pergi ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, rupa-rupanya bukan denggi.
Tapi masa tu saya masih demam. Masa di hospital, memang kena drip. Jadi pada masa tu, mungkin ada teknikal. Ternyata badan saya over drip (air terlebih). Benda tu buatkan air dalam badan saya berlebihan dan menyebabkan paru-paru saya penuh air. Saya tak boleh bernafas secara tiba-tiba.
Ujar Nora lagi, ketika itu dia reda sekiranya dijemput Ilahi berikutan pandangannya sudah putih. Penyanyi berusia 50 tahun itu akui sempat meminta maaf kepada suaminya malah berpesan supaya menjaga anak-anaknya dengan baik.
Masa tu saya mengucap, dalam fikiran saya tak apa lah, dah tiba masa saya. Saya bertaubat dan mengucap dan ingat Allah SWT.
Susulan daripada itu, Nora telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk prosedur mengeluarkan air dari paru-paru.
Kata doktor saya mungkin kena small heart attack tapi bukan disebabkan jantung saya bermasalah tapi kerana overdrip. Mungkin ada kesilapan daripada pihak hospital kerana doktor pun manusia. Bila pindah ke hospital lain, saya dijaga oleh tiga pakar.
Nora akui apa yang berlaku secara tidak langsung membuatkan dia lebih menghargai keluarga terutama suami dan anak-anak.
Sepanjang 11 hari berada di hospital, saya nampak pengorbanan anak-anak dan suami terutamanya. Dia siapkan anak dan hantar ke sekolah. Mana dengan jadual kerjanya yang perlu mengajar lagi.