berita

Panggung Wayang ‘Patuh Syariat’ Di Terengganu Asing Tempat Duduk Lelaki & Wanita

July 6th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Di Terengganu, sebuah syarikat rangkaian pawagam telah melaksanakan panggung wayang patuh syariat. Menerusi Facebook Lotus Five Star Cinemas (LFS) yang beroperasi di Paya Bunga (PB) Square, mengeluarkan satu notis di mana panggung wayang tersebut telah melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, perempuan dan juga keluarga.

Zon pengasingan tempat duduk

Notis Penting. Mulai 1 julai 2020 Panggung LFS Cinemas Kuala Terengganu akan melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, perempuan dan keluarga yang telah dikuatkuasakan oleh Kerajaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Oleh yang demikian pihak pengurus LFS Cinemas berharap tuan/puan mematuhi segala syarat-syarat ketika berada di Panggung Wayang. Kerjasama anda amat dihargai!

Menerusi laporan Sinar Harian, Pengurus LFS Kuala Terengganu, Mohd Zulmajdi Razali memberitahu pelaksanaan peraturan baharu itu dikuatkuasakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.

Arahan pihak berkuasa tempatan (PBT)

Pelaksanaan peraturan baharu ini akan dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah.

Bagi panggung wayang yang keluasannya agak kecil, mereka yang berkeluarga boleh memilih untuk duduk di mana-mana tempat duduk yang disediakan manakala bagi dewan yang agak luas, kita telah bahagikan tempat duduk bahagian tengah panggung wayang untuk pasangan berkeluarga namun bergantung kepada keadaan semasa di mana terdapat juga pengunjung lelaki atau wanita ditempatkan di tempat duduk bahagian tengah sekiranya keadaan memerlukan asalkan menjaga batasan antara satu sama lain.

Tambahnya lagi, pihaknya menerima arahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperkenal dan melaksanakan peraturan baharu itu kepada semua pelanggan yang berkunjung ke tempat berkenaan. Mereka juga akan bertanggungjawab untuk melakukan pengasingan lelaki dan wanita bukan mahram serta membuat pemantauan di dalam panggung wayang sekiranya berlaku keadaan atau situasi mencurigakan.

Di samping itu, dia turut memberitahu sebarang tempahan tiket hanya dilakukan secara manual di kaunter tiket di panggung wayang tersebut berikutan tempahan secara dalam talian ditutup buat masa ini berikutan pelaksanaan peraturan baharu itu.

Tertakluk kepada semua

Ini termasuk juga perancangan untuk membuka kiosk bagi pelanggan membuat tempahan tiket sendiri. Kiosk itu juga ditutup buat masa ini. Ini adalah peraturan baharu dan boleh dikatakan LFS Kuala Terengganu adalah panggung wayang pertama yang melaksanakan peraturan ini di Malaysia.

Setahu saya belum ada lagi panggung wayang lain yang menguatkuasakan zon pengasingan sebegini. Jadi kita di peringkat pengurusan pun masih baharu dengan peraturan ini dan bersedia untuk memperbaiki sebarang kelemahan bagi memastikan kepuasan pengunjung yang datang ke sini.

Disoal mengenai sama ada peraturan itu tertakluk kepada bukan Islam ataupun tidak, dia berkata ia tertakluk kepada semua pelanggan termasuk bukan Islam. Pihaknya juga sedia melaksanakan sebarang penambahbaikan bagi membolehkan ia dipatuhi oleh semua pelanggan.

Sumber: Lotus Five Star Cinemas & Sinar Harian

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×