“Tabu, tapi perlu tahu.” Itulah mesej utama kempen ‘Peduli Seks’ hasil kerjasama antara OhBulan, Seismik, dan SPOT Community Project.
Bersempena dengan kempen ini, OhBulan x Seismik menyertai Spot Community Project dalam sesi roadshow interaktif ke sekolah-sekolah bagi memberikan pendedahan tentang pendidikan kesihatan seksual serta membantu kanak-kanak yang sedang melalui akil baligh untuk mengurus diri dengan perkongsian topik-topik berkaitan pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif.
Artikel Berkaitan: Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu- OhBulan & Seismik Lancar Kempen Pendidikan Seksual Bagi Memecahkan Stigma di Malaysia
Artikel Berkaitan: Tabu Tapi Perlu Tahu, Ini Kepentingan Pendidikan Seks Menurut Kerangka Islam
View this post on Instagram
Pada 29 November lalu, SPOT Community Project telah mengadakan sesi roadshow di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam. Dengan pendekatan yang santai tetapi padat informasi, para pelajar didedahkan kepada pelbagai topik penting seperti:
- Akil baligh dan perubahan fizikal,
- Definisi seks dan kehamilan,
- Penyakit kelamin,
- Kebersihan diri,
- Undang-undang berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja,
- Serta bagaimana menghadapi tekanan rakan sebaya dan mengenal pasti batasan.
Untuk menjadikan sesi lebih menarik, kuiz interaktif turut diadakan, memberikan pelajar peluang untuk menguji pemahaman mereka tentang pendidikan seksual.
SPOT Community Project merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan aktiviti pendidikan seksualiti di Malaysia. Sejak penubuhannya pada tahun 2015, inisiatif ini telah memberikan kesan positif kepada lebih 30,000 kanak-kanak melalui program pendidikan seksualiti yang komprehensif.
Visi mereka? Mendidik 100,000 kanak-kanak menjelang 2030, memecahkan stigma, dan memberikan pendedahan tentang topik yang sering dianggap tabu tetapi sangat penting ini.
Kenapa Program Ini Penting?
Menurut Debbie Soh Kim Lian, seorang guru dan pempengaruh TikTok yang mesra dipanggil Cikgu Debbie, program seperti ini amat penting untuk golongan remaja.
“Program ini bagus untuk pelajar, terutamanya remaja. Mereka perlu faham perubahan yang berlaku apabila mencapai akil baligh, seperti perasaan terhadap jantina lain dan perubahan fizikal. Program ini membantu mereka elak melakukan perbuatan yang tak baik dan mengajar bahawa pendidikan seks adalah perkara biasa untuk diketahui, bukan tabu,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan seks membantu pelajar memahami apa itu seks dalam erti kata sebenar, yang bukan sekadar hubungan badan, tetapi juga melibatkan perkara seperti sentuhan, percakapan lucah, dan kelakuan seksual yang tidak sesuai.
“Kadang-kadang ibu bapa tak tahu bagaimana nak berbincang dengan anak-anak tentang perkara ini. Jadi, program ini menjadi alternatif penting untuk mendidik mereka. Ia juga membantu kanak-kanak dan remaja menyedari apa yang salah dan melaporkannya kepada pihak berwajib.”
Kesedaran tentang pendidikan seksual bukan sekadar melindungi generasi muda, tetapi juga membina keyakinan mereka untuk menghadapi cabaran hidup. Kempen seperti ini membuka ruang untuk masyarakat mendekati isu yang sensitif tetapi kritikal dengan cara yang positif dan berfakta.
Dengan sokongan masyarakat, SPOT Community Project dan inisiatif-inisiatif seperti ini mampu memberi impak yang lebih besar, melindungi masa depan anak-anak kita, dan memecahkan stigma yang telah lama membelenggu topik pendidikan seksual di Malaysia.
Sebuah mikrosite khas di says.com/peduliseks telah diwujudkan sebagai pusat digital untuk kempen ini. Laman tersebut menyediakan pelbagai maklumat kempen, termasuk ruang untuk berkongsi pengalaman secara anonim serta kolaborasi bersama NGO berkaitan.
Kempen ini turut memanfaatkan platform media sosial dengan menggunakan hashtag #PeduliSeks bagi meningkatkan engagement dan mencapai lebih ramai komuniti.
#PeduliSeks #tabutapiperlutahu