Seorang pelajar lelaki, berusia 16 tahun ditemui tergantung di kipas siling dalam bilik tidur rumahnya di Pulau Pinang, semalam. Menerusi laporan Harian Metro, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) bakal menjalankan siasatan dalaman berhubung kematian pelajar tersebut selepas wujudnya dakwaan yang mengatakan pelajar itu membunuh diri akibat tekanan di sekolah.
Sedang kumpul maklumat
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad, pihaknya sudah mendapat laporan berhubung kes kematian pelajar lelaki tersebut dan mereka dalam proses mengumpul maklumat bagi mengetahui punca sebenar pelajar itu gantung diri. Tambahnya, tindakan lanjut bakal diambil selepas siasatan dilakukan.
Bercerita mengenai kes tersebut, mangsa itu ditemui tergantung oleh ibunya pada pukul 6.15 petang, semalam. Kain selimut merupakan bahan yang digunakan oleh mangsa untuk menggantung dirinya. Mangsa disahkan meninggal dunia, tiga jam selepas dibawa ke hospita.
Tidak tunjuk sikap pelik
Manakala, menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, ibu pelajar lelaki itu turut memaklumkan bahawa anak lelakinya itu tidak menunjukkan sikap pelik sebelum kejadian.
Mangsa adalah anak sulung daripada dua beradik. Ibunya berniaga pakaian secara dalam talian, manakala bapanya baru berhenti kerja. Sebelum kejadian, wanita itu memberitahu ada mengetuk pintu bilik mangsa berulang kali, tetapi tiada respon. Dia kemudian membuka pintu bilik menggunakan kunci pendua dan menemui anaknya dalam keadaan tergantung di kipas siling dengan lehernya diikat kain selimut.
Tiada sebarang unsur jenayah yang ditemui selepas hasil pemeriksaan dilakukan terhadap badan mangsa dan laporan bedah siasat juga mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana menggantung diri ekoran terdapat kesan lebam pada lehernya. Kes tersebut dianggap sebagai mati mengejut dan mayat mangsa diserahkan kepada keluarganya bagi tujuan pengebumian.
Terasa diri dimalukan
Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel yang mewakili keluarga mangsa pula mendakwa pelajar tersebut tertekan dengan pihak sekolah yang tidak membenarkannya untuk menukar kelas lalu bertindak sedemikian. david juga mendakwa pelajar itu turut dimalukan apabila didenda oleh seorang guru gara-gara memakai seluar pendek selepas dia ditahan memakai seluar panjang yang ketat ke sekolah. Selain itu, guru tersebut dipercayai pernah merampas rantai kunci milik mangsa kerana ia tajam dan mendatangkan bahaya.
Mangsa pernah menyuarakan hasrat bertukar kelas kepada ibu bapanya dan perbincangan pernah dibuat bersama pihak sekolah, namun diberitahu perlu buat permohonan terlebih dahulu selain melihat kepada prestasi dalam peperiksaan. Ibu bapanya juga ada memujuknya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh sebelum boleh berpindah kelas.
Sebagai wakil keluarga mangsa, David berharap tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak polis agar nasib kelaurga mangsa terbela.
Sumber: Harian Metro