berita

Pelajar Masuk ICU Selepas Didenda Lari 30 ‘Round’ Pakai Pelitup Muka, Pihak Sekolah Mohon Maaf

May 20th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Foto: China Press

Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah swasta di Kulai, Johor memerlukan rawatan di hospital selepas diserang palpitasi akibat guru pendidikan jasmaninya didakwa mendenda seluruh kelasnya berlari 30 pusingan gelanggang bola tampar sekolah dengan memakai ‘face mask’.

Difahamkan, murid-murid di kelas itu didenda kerana tidak menyiapkan kerja rumah.

Ditempatkan di ICU

Foto: China Press

Memetik laporan China Press, gadis tersebut mula berasa tidak selesa selepas berlari 15 pusingan, kemudian menghabiskan denda tersebut dengan berjalan.

Degupan jantungnya dilaporkan naik sehingga kadar 200 degupan seminit apabila dia pulang ke rumah. Gadis itu meluahkan rasa tidak selesa pada bahagian dada serta sukar untuk bernafas, lalu dibawa ke hospital.

Sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), prosedur ‘cardioversion’ dijalankan kepada remaja berusia 15 tahun itu untuk mengawal semula degupan jantungnya agar kembali pada kadar yang normal.

Semalam, ibu kepada remaja itu memuat naik gambar anak perempuannya yang sedang menerima rawatan di laman Facebook dan berkongsi pengalaman pahit yang dialami anaknya itu.

Hantaran itu tular dan netizen mengecam guru dan sekolah itu. Selain itu, hantaran tersebut juga mencetuskan perdebatan mengenai hukuman fizikal terhadap pelajar sekolah.

Pihak sekolah mohon maaf

Foto: China Press

Susulan itu, Pengetua sekolah, Ng Fui Choo mengakui guru pendidikan jasmani itu telah melakukan kesilapan dan ibu bapa kanak-kanak perempuan tersebut telah menerima permohonan maaf daripada guru itu selepas mereka datang berjumpa pengurusan sekolah hari ini.

Pihak sekolah juga meminta ibu bapa pelajar tersebut untuk menghantar laporan kesihatan kepada mereka agar keadaan pelajar itu dapat diawasi. Pelajar tersebut juga dibenarkan untuk menggunakan lif sekolah, dan tidak perlu menggunakan tangga untuk ke kelas agar keadaan jantungnya tidak melarat.

Sumber: Mothership, China Press

SKIP THIS AD ×