Pelakon filem siri pertama Twilight iaitu Gregory Tyree Boyce ditemui meninggal dunia bersama teman wanitanya, Natalie Adepoju pada 13 Mei yang lalu di kediaman mereka yang terletak di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat.
Ditemui mati bersama kekasih
Menerusi laporan yang dipetik daripada CNN, jurucakap Penyiasat Perubatan Clark County sendiri telah mengesahkan kematian pelakon terkenal yang berusia 30 tahun ini. Difahamkan, kejadian tersebut disedari oleh sepupunya yang ternampak kereta Boyce masih berada di rumahnya sedangkan sepatutnya pada waktu itu Boyce sudah berada di Los Angeles.
Curiga dengan situasi itu, sepupunya kemudian pergi ke kondominium Boyce untuk memeriksa keadaannya. Tetapi lain pula yang jadinya apabila dia sampai di rumah tersebut dan melihat Boyce dan teman wanitanya itu sudah tidak bernyawa. Memetik laporan TMZ, terdapat serbuk putih yang dijumpai di dalam rumah pelakon tersebut tetapi pihak berkuasa masih belum mengesahkan apa-apa mengenai isu berkenaan. Punca kematian pasangan ini masih dalam siasatan dan buat masa ini, pihak polis mengklasifikasikan kes terbabit sebagai bukan kes jenayah.
Pertemuan terakhir pada Hari Ibu
Menerusi perkongsian ibu Boyce iaitu Lisa Wayne di Facebook, dia meluahkan rasa sedih dengan kehilangan anak lelakinya itu, Dalam pada itu, dia turut menceritakan bahawa Boyce juga mempunyai cita-cita untuk memulakan perniagaan menjual kepak ayam. Lebih menyedihkan apabila mereka sepatutnya berjumpa pada hari Selasa (19 Mei 2020) untuk membincangkan mengenai perancangan masa hadapan tetapi sayangnya dia sudah pergi buat selama-lamanya sebelum sempat berbuat demikian.
Difahamkan, kali terakhir Lisa Wayne bertemu dengan anak lelakinya adalah pada 11 Mei 2020 yang lalu untuk menyambut Hari Ibu dan itu adalah kali terakhir dia dapat memeluk, mencium dan bergelak ketawa bersama anak lelakinya, Boyce. Selain ibunya, Boyce turut meninggalkan anak perempuan, Alaya berusia 10 tahun manakala Natalie mempunyai seorang anak lelaki yang dikenali dengan nama Egypt.
Sumber: CNN, TMZ, Lisa Wayne