berita

Pelakon Kamen Rider Ditemui Mati, Disyaki Bunuh Diri

November 17th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Industri hiburan Jepun dikejutkan dengan berita kematian seorang pelakon terkenal iaitu Akira Kubodera. Kubodera ditemui berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di apartmentnya yang terletak di Tokyo, Jepun.

Disebabkan bunuh diri

Menerusi laporan yang dipetik daripada The Independent Sg, pelakon yang pernah membintangi dalam siri Kamen Rider dan Pretty Guardian Sailor Moon telah ditemui pada 13 November 2020 yang lalu di apartmentnya.

Ketika ditemui, aktor kacak ini sudah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Susulan daripada itu, Kubodera yang berusia 43 tahun ini terus dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi sayangnya dia tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

Berita mengejutkan keluarga, rakan

Hasil daripada siasatan awal, pihak polis mengesahkan bahawa kematian Kubodera adalah disebabkan bunuh diri.  Sementara itu, kematian Kubodera telah disahkan oleh pihak agensi pelakon itu dalam satu kenyataan media pada hari Sabtu yang lalu.

Mereka mengakui kematian itu sangat mengejutkan sehingga ahli keluarga dan rakan sekerja seakan tidak dapat menerima pemergian Kubodera. Pelakon kacak ini telah meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan.

Sumber: The Independent Sg, The Strait Times

SKIP THIS AD ×