berita

‘Pelukan Angkasa’ SOG X Shila Amzah Dinobat Sebagai Juara, Ini Keputusan Penuh Pemenang AJL36

March 7th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Anugerah Juara Lagu (AJL36) telah berlangsung dengan meriah menyaksikan 12 buah lagu bertanding dengan sengit. Acara yang cukup berprestij ini telah berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur  dan dikendalikan oleh dua pengacara cukup berbakat iaitu Alif Satar dan Nabila Huda.

Lagu Pelukan Angkasa nyanyian Sekumpulan Orang Gila (SOG) & Shila Amzah telah dinobatkan sebagai juara AJL 36. Berikut merupakan senarai penuh para pemenang di AJL36. Tahniah buat semua finalis!

Juara AJL 36

Anugerah Juara Lagu ke-36 pada malam ini menyaksikan lagu Pelukan Angkasa dinyanyikan oleh SOG & Shila Amzah berjaya merangkul gelaran juara AJL36. Mereka telah membawa pulang trofi bersalut emas dan wang tunai sebanyak RM100,000. Tahniah!

Naib Juara AJL 36

Jika tahun lepas, lagu Semalam (Aina Abdul) dinobatkan sebagai Naib Juara AJL35, tetapi pada tahun ini, lagu  Cinta nyanyian Marsha Milan berjaya merangkul gelaran tempat kedua. Penyanyi lagu ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik ini juga telah membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.

Tempat Ketiga

Manakala tempat ketiga pula disandang oleh Haqiem Rusli menerusi lagu Mimpi. Lagu ciptaan penyanyi ini sendiri bersama Dato’ A. Aida telah memperolehi tempat ketiga dan membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM30,000.

Vokal Terbaik

Persembahan luar biasa ‘Sepi’ dendangan dari suara lunak Aina Abdul sememangnya layak dinobatkan sebagai Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-36. Kehebatan vokal dan kemerduan suara Aina Abdul sememangnya tidak dapat disangkal lagi apabila nyanyiannya malam ini mendapat pujian ramai. Aina Abdul membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM12,000.

Persembahan Terbaik

Kreatif dan menarik! Itulah ungkapan paling sesuai menggambarkan persembahan hebat daripada pemenang Anugerah Persembahan Terbaik AJL36 iaitu Marsha Milan menerusi lagu Cinta. Penyanyi lagu ciptaan Hang Nadim dan Bunga Cantik telah membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,00 serta wang tunai RM6,000 daripada penaja utama, NOIR Beauty Essence.

Penyanyi Pilihan Popular

Bagi kategori Penyanyi Pilihan Popular AJL36 dinobatkan kepada Aina Abdul dan Khai Bahar. Mereka telah membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM5,000.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, anugerah berprestij AJL pada malam ini melabuhkan tirai dengan sangat meriah. Kami di OhBulan! mengucapkan tahniah buat semua pemenang dan finalis AJL36 tahun ini!

SKIP THIS AD ×