Sekadar gambar hiasan
Seorang pemandu peribadi yang dituduh atas pertuduhan mengelar tangan anak tiri lelakinya dan memaksa anak tiri perempuannya meminum air kencing telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.
Kelar tangan, paksa anak tiri minum air kencing
Sekadar gambar hiasan
Tertuduh, R Segaran berusia 38 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memaksa kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun satu bulan meminum air kencing melalui botol dan mengelar tangan anak tiri lelakinya berusia 14 tahun satu bulan masing-masing pada 5 pagi, 15 Disember dan 7 pagi, 16 Disember lalu di sebuah flat di Jalan Kenanga, Dang Wangi.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan kerana bimbang dengan keselamatan kedua-dua mangsa jika tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dibebaskan dengan ikat jamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Februari untuk sebutan kes.
Sumber: Sinar Harian