Pemandu van yang melanggar seorang murid tahun satu hingga maut di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, semalam, dipercayai tidak memiliki permit van sekolah.
Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at memberitahu bahawa siasatan awal mendapati pemandu wanita berusia 31 tahun itu disyaki tidak memiliki permit sah setakat ini.
Tidak tertera perkataan van sekolah
Ia berikutan kenderaan itu berwarna putih dan bukan berwarna kuning seperti yang ditetapkan (pihak berkuasa). Selain itu, van terbabit juga tidak tertera perkataan van sekolah, sekali gus dipercayai tidak memiliki permit yang dibenarkan.
Jelas Azman, pihaknya akan memantau kes tersebut bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang. Di samping itu, pihak polis mengambil keterangan pemandu wanita itu yang dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.
Kita akan melihat tindakan yang boleh diambil termasuk membabitkan permit sah van terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Susulan daripada kes tersebut, Azman mengingatkan kepada semua pemandu van sekolah supaya mematuhi peraturan ditetapkan iaitu memiliki permit sah.
Langkah ini wajib dipatuhi untuk mengelakkan kesulitan khususnya ketika berlaku kes kemalangan maut. Ibu bapa juga dinasihatkan memilih perkhidmatan van sekolah berdaftar dan mengambil kira faktor keselamatan anak-anak.
Sumber: Harian Metro