Pihak polis memohon orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan punca kebakaran Wisma Jakel Shah Alam yang berlaku, semalam.
Artikel berkaitan: Butik Fitri Haris Di Shah Alam Turut Alami Kebakaran, Segala Urusan Promosi & Acara Ditangguhkan
Sedang melakukan siasatan
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran.
Polis pohon orang awam tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau andaian berkaitan perkara ini. Kita kena hormati perasaan mereka yang alami kerugian serta pekerja yang hilang sumber pendapatan akibat insiden ini.
Tambah Iqbal, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berkaitan perkara itu daripada mana-mana pihak. Ujar beliau lagi, tindakan undang-undang boleh diambil oleh pemilik sekiranya laporan siasatan bomba membuktikan sebaliknya.
Pasrah dan reda
Berikutan kebakaran tersebut, pemilik Jakel cawangan Shah Alam itu terpaksa menanggung kerugian hampir RM100 juta. Menurut Ketua Pegawai Operasi Jakel, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel, dia menerima panggilan kira-kira jam 6.45 pagi dan masih berada di kediamannya di Kuala Lumpur sebelum dimaklumkan kedainya terbakar.
Saya dan adik bergegas ke Shah Alam dan sebaik tiba di lokasi kami melihat keadaan kemusnahan bangunan agak teruk dan tidak sempat hendak selamatkan apa-apa di bahagian berkenaan. Kami reda dengan ketentuan Ilahi kerana setiap perkara berlaku ada kebaikan akan datang, rahsia itu tiada siapa tahu, jadi saya pasrah dan reda.
Pada masa yang sama, Nizam bersyukur kerana tiada pekerja yang berada di dalam bangunan berkenaan ketika kejadian tersebut berlaku.
Sumber: Harian Metro