Di Jamaica, mayat seorang pempengaruh ditemui terapung di laut. Menurut pihak polis, mayat pempengaruh yang dikenali sebagai Aneka ‘Slickianna’ Townsend itu ditemukan di bandar pesisir pantai Reading, St Andrew Parish kira-kira pukul 9.30 pagi, pada 21 Oktober yang lalu.
Berlumuran darah
Menerusi laporan Mirror UK, pengunjung pantai menjumpai mayat Aneka yang separa reput terlebih dahulu sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan. Ujar saksi, pihaknya melihat pihak berkuasa mengeluarkan tuala yang kelihatan berlumuran darah serta rambut palsu dari tempat kejadian.
Susulan penemuan itu, polis kemudian mengesahkan mangsa ialah Aneka, seorang pempengaruh fesyen dan duta beberapa jenama yang berasal dari kawasan tersebut. Bukan itu sahaja, mayat Aneka turut dicam oleh ibunya pada hari sama. Kes tersebut tidak berhenti di situ, pihak polis menamakan Rushane ‘Chizzie’ Patterson sebagai orang yang bertanggungjawab dalam kematian wanita itu. Pihak polis turut memanggil beberapa orang saksi kejadian bagi meneruskan siasatan sehingga ke hari ini.
Aneka yang meninggalkan seorang anak lelaki, terkenal dengan kandungan fesyennya dan menyokong beberapa jenama, serta menjalankan kedai pakaian dalam talian. Malah, wanita itu mempunyai 320,000 pengikut di Instagram.
Sumber: Mirror UK