Semalam, keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan dimana seramai 8,876 daripada 389,498 calon memperoleh cemerlang dalam semua mata pelajaran diambil. Pencapaian ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelum.
Di Kelantan, Mohamad Nur Firdaus Zulkifli muncul sebagai pelajar terbaik SPM negeri itu apabila berjaya memperoleh 11A+ dalam semua mata pelajaran yang diambilnya.
Berkat jaga ibu
Menerusi laporan Berita Harian, menjaga ibu yang menghidap sakit misteri sejak kematian bapa bukanlah penghalang bagi Mohamad Nur Firdaus untuk berjaya. Difahamkan dia mengambil alih tugas bapa sejak pemergiannya dua tahun lalu akibat sakit buah pinggang.
Walaupun hadir tanpa ditemani ibu bapa ke sekolah, pelajar ini kelihatan tenang mengambil keputusan daripada pengetua sekolah, Mohd Razak Che Yaakob.
Saya tidak pernah menganggap menjaga ibu selepas kematian ayah adalah beban, sebaliknya ibu menjadi kekuatan saya untuk terus berjaya.
Rahsia kejayaan saya pula mudah, saya beri tumpuan penuh dalam kelas dan buat kerja sekolah sebaik diberikan guru kerana itu latihan terbaik.
Mohamad Nur Firdaus juga berjaya memecahkan rekod sekolah apabila mendapat kesemua A dalam mata pelajaran diambil semenjak Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil ditubuhkan pada tahun 1954.
Penawar hati sejak kematian suami
Ketika ditanya tips kejayaan, Mohamad Nur Firdaus memberitahu dia sentiasa fokus di dalam kelas dan menyiapkan kerja sekolah yang diberi kerana itu adalah waktu ulangkaji yang terbaik.
Malah, dia turut memanfaatkan masa dengan mencari tips dan latih tubi terkini dari pelajar-pelajar lain di seluruh Malaysia.
Saya cari maklumat yang sesuai dan berhubung dengan mereka berkaitan soalan, latihan atau apa saja berkaitan pelajaran selain saya juga mengambil kelas tambahan Bahasa Arab dan berhubung dengan guru-guru untuk lebih faham mengenai sesuatu mata pelajaran.
Ibu, Sarimah Shaffii ternyata terkejut saat mendapat tahu anaknya mendapat keputusan cemerlang sekaligus muncul sebagai pelajar cemerlang seluruh Kelantan.
Saya sangat bangga dengan kejayaan ini sekali gus menjadi penawar yang mengubat hati saya selepas kematian ayahnya.
Dia turut menyifatkan anak bongsu yang mesra dipanggil ‘adik’ itu seorang yang pendiam dan tidak pernah berenggang dengan buku. Katanya, Mohamad Nur Firdaus bercita-cita menjadi doktor pakar jantung dan mahu menyambung pelajaran di Universiti Malaya (UM).
Sebelum kematian suami, Sarimah diserang penyakit misteri apabila dia tidak mampu berdiri lama dan sering pitam secara tiba-tiba. Dia juga seringkali mengalami sakit kepala yang kronik.
Sumber : Berita Harian