Foto: Zakat Selangor
Di Facebook, seorang asnaf tampil bersikap jujur dengan memaklumkan dirinya kini memperoleh pendapatan semakin baik sejak belakangan ini.
Ramai lagi yang memerlukan bantuan
Menerusi kisah yang dikongsikan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), individu tersebut telah membuat permohonan supaya membatalkan namanya sebagai penerima zakat.
Ustaz, saya nak keluar asnaf. InshaAllah, pendapatan saya dah semakin baik dan cukuplah zakat bantu saya sebelum ni, tentu ramai lagi yang memerlukan bantuan dari zakat. Terima kasih pembayar zakat.
Jelas pihak Lembaga Zakat Selangor, mereka telah menghubungi individu tersebut untuk mendapatkan kepastian sejurus menerima sepucuk surat. Ujar pihak zakat, individu tersebut seorang yang jujur dan mereka berdoa agar asnaf berkenaan berjaya melalui saat getir tatkala dilanda ujian.
Dengan sepucuk surat dan panggilan telefon, kami berbual berkaitan hasratnya, untuk kepastian. Bila kita berada pada fasa endamik, langkah semakin jauh dan semakin gigih berusaha, maka hasilnya seperti yang sering kita dengar ” Man Jadda Wa Jada”, setiap usaha pasti berjaya. Alhamdulillah.
Di ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan sifat asnaf tersebut. Netizen berdoa agar asnaf tersebut dilimpahkan rezeki dan diberikan kesenangan oleh Allah dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Tambah netizen, siapa tahu suatu hari nanti asnaf tersebut mampu menjadi pembayar zakat pula.
Sumber: Lembaga Zakat Selangor