Baru-baru ini, tularnya kenyataan dikeluarkan penyanyi As’ad Motawh yang beranggapan pergi ke sekolah harian ada satu perkara yang membuang masa.
Kenyataan itu turut mendapat perhatian penyanyi, Syamel yang tampil memberikan pandangannya mengenai isu tersebut.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Doa, Usaha, Tawakal & Kabel, Ernie & Syamel Berjaya Dapat Kek Tapak Kuda Ustaz Riduan
Kena ‘balance’
Ketika ditemui OhBulan!, Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly berkata, dia sangat menghormati pandangan tersebut dan menganggap berkemungkinan penyanyi muda itu mempunyai sebab tersendiri.
Namun, dia menegaskan bahawa anak muda di luar sana perlu menitikberatkan pendidikan demi masa depan yang utuh.
Mungkin dia ada sebab yang munasabah dan saya harus menghormati apa sahaja kenyataan serta pandangan yang dikeluarkan oleh seseorang.
Tetapi saya nak nasihatkan kepada anak muda di luar sana yang cenderung untuk terlibat dalam dunia hiburan mahupun media sosial, anda perlu selaraskan minat anda itu dengan pendidikan. Barulah ia menjadi seimbang.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu gagal sewaktu percubaannya untuk menjadi ‘content creator’, dia masih mempunyai pendidikan yang pada akhirnya akan membantu menjamin masa depannya.
Syamel berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media program Wacana Srikandi sempena Hari Wanita Sedunia yang diadakan di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam pada Rabu.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Hidup Sampai Mati’ turut menasihatkan kepada anak muda masa kini agar menyelaraskan minat mereka dengan pelajaran supaya tidak akan menyesal di kemudian hari.
Tambah Syamel, kejayaan seseorang pempengaruh yang mereka lihat di media sosial itu bukanlah mudah untuk dikecapi kerana ia boleh dianggap sebagai satu perjudian yang sukar untuk diperolehi semua orang.
Zaman sekarang ini, kalau kita tanya anak muda mereka mesti kata yang cita-cita mereka adalah untuk menjadi ‘content creator’. Jarang dah kita dengar nak jadi doktor, akauntan dan sebagainya.
Bila ‘content creator’ merupakan cita-cita mereka, mereka perlu tahu yang perkara ini adalah satu perjudian. Kalau jadi, ‘meletuplah’ dia tapi kalau tak jadi?
Kebanyakan dari kita pada hari ini ialah bila apa yang dia ceburi itu tidak menjadi, mereka akan mula untuk ‘give up’ dan perlu untuk mencari sumber kehidupan yang baharu.
Jadi bila jadi perkara sebegitu, sudah tentu ia akan melibatkan masa untuk mereka bangkit dan pastinya akan membuatkan mereka menjadi tertekan dan memilih untuk ‘give up’ sekali lagi.
Nasihat saya ialah tak kisahlah mereka minat nak jadi apa sekali pun tetapi apa yang penting ialah pendidikan yang dapat membantu mereka di kemudian hari.
Terdahulu, As’ad dikecam ramai selepas mengeluarkan kenyataan mengatakan pembaziran masa untuk seseorang itu ke sekolah.
Walau bagaimanapun, As’ad kemudiannya tampil menjelaskan bahawa kenyataan sebenar yang ingin disampaikan adalah dia secara peribadi tidak gemar untuk pergi ke sekolah harian kerana menganggap itu adalah perkara yang membuang masa buat dirinya.
Dalam pada itu, tular pula satu lagi potongan video podcast dibuat seorang pempengaruh yang beranggapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sama sekali tidak mempunyai nilai dan ‘kosong’ dalam kehidupan seseorang.
Perkara ini sedikit sebanyak merisaukan rata-rata netizen yang beranggapan kenyataan tersebut akan mempengaruhi anak muda yang menonton sesi podcast tersebut.